Agus mati akal. Dahinya merenik manik peluh. Kedua belah tapak tangan yang terasa lembap dikesat pada napkin kertas. Tala mata berkalih-kalih antara pintu, telefon pintar dan gelasnya yang kosong. Lantas, dia melambai pada pramusaji dan mencapai telefon pintar. Seketika itu juga sosok rakan sebilik menapak ke dalam kafe itu. Perkhabaran baik atau tidak yang dibawa oleh Bidin itu yang membuat Agus tidak senang duduk sedari melangut di situ.
“Dia setuju?”
Agus tidak menunggu Bidin memesan apa-apa terus bertanya. Bidin menggeleng
tidak menghiraukan pramusaji yang menghampiri bersama gelas kedua teh O ais
limau untuk Agus.
“Dia tak mahu
kalau upahnya sama. Dia nak kita tambah. Salah kita juga beri dia tempoh singkat
untuk siapkan.”
“Berapa?”
Bidin
teragak-agak menjawab. “Seratus seorang.”
“Pergh! Banyak
tu! Mana aku nak cari duit dalam masa terdekat ni?” Agus meraup wajah dan peluh
di dahi sudah meleleh ke pipi.
“Aku kena
minta kakak akulah.” Bidin memberitahu walau tidak disoal. Agus termenung
sejenak sebelum mematikan persoalan yang berlegar dalam kepala Bidin.
“Beritahu dia
kita setuju.”
***
Jeritan halus
yang memecah keheningan mengejutkan Cecilia daripada lenanya. Buku-dan kertas
nota yang bertaburan di atas katil jatuh berselerak ke lantai. Belum sempat
duduk, Dalila sudah menerkamnya.
“Cepat Cel!
Baca mesej grup WhatsApp kelas Dr Imran.” Cecelia menyambut huluran telefon
pintarnya daripada tangan Dalila. Jeda. Decit keluhan dari bibir mungilnya diikuti
hempasan telefonnya ke tilam.
“Aku bertegas
mengingatkan jangan buat, dia buat juga. Degil! Satu kumpulan dapat musibah!”
Dalila
mengetap gigi. “Mujur Dr Imran bagi kumpulan kita peluang kedua. Tapi, markah kumpulan
tetap ditolak.”
“Iyalah. Kita
bernasib baik tugasan itu tidak ditolak seratus peratus. Lebih buruk,
digagalkan daripada subjek ini.”
Dalila
memerhati Cecilia yang kembali menatal skrin telefonnya. “Kau hubungi diakah?”
Hanya satu
cebikan menjawab soalan Dalila.
Agus reda
sahaja menadah telinga daripada Cecilia menerusi panggilan telefon beberapa
minit yang lalu. Matanya mencerlung tajam pada Bidin yang mulai cuak.
“Apa ni
Bidin? Kau beritahu orang itu buat kerja profesional, dah lama ambil upah dan
tak pernah ada isu. Sekarang ni kumpulan aku kantoi plagiat. Tapi, kumpulan kau
lepas pula. Dahlah bayar mahal!”
Bidin tunduk merenung
lantai. “Aku pun bingung. Teruk Cecilia marah kau?”
“Teruklah!
Aku kena e-mel dia semua bahan aku. Dia yang akan betulkan bahagian aku sebab
dia tak nak ambil risiko lagi.”
Bidin
berkerut. “Kalau Cecilia mahu selesaikan semuanya, kenapa kau susah hati?”
Agus
bersandar pada sisi almari memeluk erat bantal kusamnya. “Reputasi aku sudah
tercalar Bidin. Terlepas peluang aku pikat Dalila.”
Agus tidak
sempat mengelak dengan balingan bantal yang dicampak oleh Bidin. Hatinya
bertambah sakit mendengar hamburan ketawa si rakan komplot. Selang beberapa
blok, perbualan Cecilia dan Dalila terganggu apabila mereka terdengar riuh
rendah datang dari luar bilik mereka.
“Kalau kau
tak nak beli buku aku, tak perlulah nak burukkan aku dan pengaruh orang jangan
baca buku aku! Dahlah memfitnah!”
“Itu bukan
memfitnah! Memang kenyataan kau seorang peniru!”
Kelantangan
suara dua perempuan bercampur-baur dengan hingar-bingar siswi-siswi yang cuba
meleraikan pergaduhan mereka menyapa telinga Cecilia dan Dalila yang menghampiri
kerumunan di koridor.
“Fiqa dengan
Suri bergaduh lagikah? Pasal apa pula kali ini?” Cecilia terdengar Dalila
bertanya pada seorang gadis yang dicam wajahnya tapi tidak pula dia mengingat
namanya. Jika bukan rakan sekampus, jarang Cecilia yang suka menyendiri mahu
ambil pusing hal jiran tetangga di sekitar kediaman para siswi di situ.
Gadis itu
menjawab, “Ciapan Fiqa memburukkan Suri sedang hangat tular di Twitter. Ramai
netizen kongsi di Facebook. Katanya, Suri bukan penulis sebenar kerana
buku-bukunya hanya sekadar memuntahkan semula isi-isi buku yang dibacanya. Hanya
copy-paste tapi diolah jadi ayat sendiri. Suri pun naik anginlah! Dituduh
pula Fiqa dengki padanya sebab dia hanya novelis picisan yang baru terbit satu
novel. Setakat tulis di Wattpad dan bangga ada pengikut yang ramai tak perlulah
diburukkan buku-bukunya. Kata Suri, dia ada bukti Fiqa meniru cerita-cerita
novelis popular.”
“Plagiat!”
Hanya satu perkataan berdecit dari Cecilia yang mendorongnya angkat kaki
kembali ke bilik, diekori Dalila.
“Aku faham
perasaan kau sekarang, Cel. Isu plagiat kian berleluasa di mana-mana.”
Cecilia
mengeluh berat. “Aku sensitif acap kali terdengar cerita orang yang ambil jalan
pintas mengaut keuntungan atas hasil penat lelah orang lain semudah
salin-tampal. Masih kau ingat peristiwa yang telah menimpa abang aku?”
Dalila
mengangguk. Mana mungkin dia lupa isu tular itu sehingga timbul di ruangan
gosip akhbar tabloid. Seorang pengarah muda yang sedang meningkat naik dituduh
mengadaptasi tanpa izin sebuah novel genre cinta milik seorang penuntut
pengajian tinggi. Walhal kebenarannya, penuntut itu yang bukan novelis tulen
telah meminta kebenaran pada pengarah Richard untuk menukar bentuk saluran,
daripada filem kepada novel popular. Richard, abang Cecilia bukan sahaja
mengarah tetapi idea asal filem itu diusahakan dengan rakan baiknya. Mujurlah
Richard telah menyimpan rekod bertarikh sebagai bahan bukti merangkumi e-mel
antara novelis palsu dengannya dan kronologi draf manuskrip skrip filem bersama
tim produksi.
“Plagiat
adalah isu serius. Sedangkan adab berkongsi di media sosial, hantaran pelayar
media sosial lain ke garis masa kita pun, ada butang share. Atau
sekurang-kurangnya dikreditkan kepada penulis asal. Ini sehingga tergamak
menjana sumber pendapatan seperti kes abang aku itu. Selepas dinasihatkan oleh
penggiat seni yang senior, barulah abangku mahu ambil tindakan undang-undang.
Ramai yang terpengaruh dengan fitnah budak plagiat itu sampai terjejas reputasi
abangku. Si plagiat bukan calang-calang orang pula. Dia seorang pempengaruh
dengan ribuan pengikut. Itulah dia yakin boleh terlepas selepas memfitnah dan
menjual hasil plagiat.” Berjela-jela ngomelan Cecilia menyentakkan Dalila
daripada lamunannya.
“Kes novelis
popular yang beberapa perenggan novelnya disalin-tampal ke Wattpad itu
pun masih tergantung. Aku cuma tertanya-tanya satu perkara.” Dalila menguis-nguis
bucu tilam. “Apa perasaan orang yang menciplak karya orang lain dan mengaku itu
karya asal mereka? Mereka jahil akan kewujudan akta yang melindungi hak cipta
dan intelek?”
Pertanyaan
Dalila berlalu tanpa jawapan, sekadar menerima satu jungkitan bahu daripada
sahabatnya yang tampak muram.
***
Kopi yang
diteguk serasa lebih pahit daripada lazim di tekak Agus. Sebelum menyarung
sepatu getah bercorak putih hitam, Agus mengerling pada katil Bidin. ‘Bekas
katil Bidin, sebetulnya,’ cetus Agus dalam hati mengingatkan diri. Katil itu
sudah beberapa minggu tidak ditiduri.
Ketika
menghayunkan langkah yang longlai menuju ke dewan peperiksaan, Agus teringat
penolakannya pada pelawaan Bidin untuk menggunakan khidmat penulis upahan.
Sekali lagi Bidin mahu menggunakan servis penulis upahan yang telah
menjerumuskan Agus pada masalah. Alasan Bidin, penulis upahan itu memberi
diskaun bagi menebus kejadian kantoi yang lalu. Namun, bak kata pepatah
‘Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.’ Hingga detik
itu, Agus masih tertanya-tanya bagaimana Bidin didapati bersalah dan digantung
pengajian sementara kes plagiatnya disiasat. Agus bersyukur masih berpeluang untuk
kembali ke pangkal jalan usai mendengar bisikan nalurinya. Dia memutuskan untuk
tidak turut serta walau dia sangat terdesak ketika itu. Bukannya dia tidak mahu
menyempurnakan tugasan subjek pengajian tetapi kekangan masanya yang saban
diisi dengan berkerja sambilan. Dia hanya mahu meringankan beban yang
ditanggung ibunya.
Wajah ibu
Agus menerpa di benak. Agus nekad untuk tidak mensia-siakan penat jerit ibunya
yang bertungkus lumus mencari rezeki. Harapan ibunya akan dimeteri tanpa
bercampur unsur syubhah apatah lagi hal yang ternyata tidak halal.
*** TAMAT ***
Comments
Post a Comment