10 Tip Urus 'Toddler' | Anak Usia Tatih


TODDLER - LIngkungan usia kanak 1 sehingga 3 tahun.

1. Keselamatan menjadi keutamaan. Pimpin tangan semasa melintas jalanraya, ubat-ubatan disorok di tempat tinggi dan berkunci. Peralatan tajam disimpan dalam bekas bertutup rapat. Bahan pencuci rumah dihimpun di lokasi yang tidak mudah dipunggah si anak kecil.

2. Beri kebebasan berpada-pada pada anak untuk aktiviti eksplorasi dan penemuan kendiri. Elakkan kerap menegah atau meletakkan harapan yang tidak realisitik pada setiap capaian perkembangannya. Disiplin yang terlampau kerana khuatir bahaya atau mengotori rumah boleh melumpuhkan semangat anak untuk mencuba.

3. Beransur-ansur aturkan rutin harian mengikut masa yang tetap. Waktu mandi, makan, tidur, latihan ke tandas, masa menyimpan mainan, ditetapkan pada waktu yang sama setiap hari. Jadikan ia tabiat membolehkan si anak menanti-nanti aktiviti rutin. Ini pun menyenangkan kalian sebagai ibu bapa untuk atur tugasan harian.

4. Bagi menjayakan jadual harian, ibu bapa perlu ada sikap disiplin terlebih dahulu. Anak meniru-niru perbuatan ayah dan ibunya. Adakalanya, ada peristiwa atau acara yang mengganggu rutin harian, di sini kebijaksaan ibu bapa untuk menerangkan perubahan kepada si anak. Ambil maklum perasaan mereka dan janjikan alternatif untuk melegakan hatinya. Pastikan kalian tunaikan janji tersebut.

5. Usia toddler ini fasa mencabar sebab si anak bukan lagi bayi tapi bukan juga dalam usia anak pra-sekolah. Sifat seperti bayi masih ada tetapi anak sudah mula membentuk sikap berdikari. Matlamat kita sebagai ibu bapa ialah untuk mengawal anak tanpa menunjukkan kuasa kawalan veto di situ. Keliru? Caranya, berikan anak beberapa pilihan cadangan yang masih dalam kawalan kita tetapi bukan dibentuk dalam arahan. Lakukan dalam bentuk soalan. Kalian sudah merangsang anak berfikir bila dibuat cara sebegini.

6. Apabila anak memberi respon negatif pada perkara yang dilarang:

** Tenteramkan tantrum anak dengan mengubah subjek atau topik perbualan. Mengulang-ulang tegahan kita pada mereka lebih mengundang keresahan.



**Bila tantrum merundum, bercerita semula kenapa kita melarang perbuatannya sebelum ini. Bercakap dengan berdiri / duduk sama paras dengan ketinggian mereka, hadap wajah mereka dengan wajah tenang, senyum dan usapan kasih sayang. Jika ada pilihan, beri pilihan sama ada anak terima atau tidak, itu bukan persoalan. Sekurang-kurangnya kita sampaikan mesej bahawa kita ambil berat perasaan anak.

**Jangan ingatkan anak akan perlakuan tidak baiknya sebelum ini. Sebaliknya ambil contoh perlakuan mereka yang positif dan beri pujian atas tindak-tanduk atau proses bukan sekadar puji, “Pandai”, “Baik anak Mama.” Penting untuk mereka faham kenapa pujian itu diberikan.


7. Apabila mahukan si anak melakukan sesuatu, minta dengan baik, tegas dan bukan dengan nada bertanya. Contohnya, daripada berkata,”Boleh kemas mainan ni?” berkataah “Kemas mainan ini. Esok boleh main lagi.”



8. Bezakan kelakuan anak sama ada reaksi (respondent) atau lazim (operant). Tingkah laku lazim (operant) dibuat tiada paksaan, sukarela, sesuatu yang anak mungkin buat bertindak tanduk berpandukan sesuatu perkara dan tidak semestinya positif. Kelakuan reaksi (respondent) adalah secara spontan misalnya menunjukkan rasa sakit, marah dan sedih.

Apabila memahami kenapa anak meragam, berperangai kurang sopan dan sebagainya, didik dengan lembut daripada memberikan hukuman. Sebenarnya pada usia sebegini anak masih belum boleh membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Mereka akan mula memahami dengan tunjuk ajar dari ibu bapanya melalui tauladan dan penerangan.


9. Usia ‘toddler’ mudah bersikap cemburu. Berkongsi bukan lagi perkara yang mudah untuk mereka. Apatah lagi berkongsi perhatian daripada ayah dan ibu. Ajari anak peraturan asas seperti bagaimana berkelakuan ketika menerima tetamu di rumah, bagaimana berkelakuan bila melawat rumah orang, menjawab panggilan, tidak menyampuk perbualan dan menunggu giliran antara perkara yang boleh diterapkan. Jangan lupa puji anak bilamana dia ingat untuk membuat perkara-perkara yang telah diajari.



10. Kejayaan pada si anak usia toddler ialah bila ayah dan ibu memberi perhatian dan menerima pujian serta keizinan. Kejayaan-kejayaan kecil semakin lama menebalkan rasa yakin dan membina keperibadian cemerlang. Ibu ayah mesti realistik jika mahu memberi cabaran tugasan baru untuk anak meguji kebolehan dan kepintarannya.

Contohnya, jika sebelum ini si anak mengambil masa 15 minit untuk mengemas permainanannya, cuba pendekkan ke 10 minit. Jika tidak berjaya, katakan padanya tidak mengapa untuk gagal, cuba lagi di masa lain. Jika berjaya, jangan berlebih-lebihan memuji kerana cepat berpuas hati. Apa-apa pun perlukan kesederhanaan.

Comments