"Ketara Hani awak seorang penulis."
Termangu-mangu saya barang seketika mendengar tempelak pensyarah sebelum saya bertanya apa yang membuatkan beliau berfikiran sedemikian usai selesai giliran saya berlatih mengendalikan sesi kaunseling olok-olok sebelum menerima komentar untuk ruang penambahbaikan.
"Awak banyak bertanya. Sifat seorang penulis begitulah kan, banyak bertanya. Sentiasa curious. Rasa ingin tahu membuak-buak. Tapi, awak harus ingat, sebagai seorang kaunselor pula, awak harus lebih banyak mendengar, klien yang banyak memberitahu masalah mereka."
"Oh." Sepatah itulah saya mampu membalas, mujurlah kuliah diadakan dalam talian, jika tidak jelas dilihat wajah merah padam saya menahan malu. Saya mengakui pendapat pensyarah itu ada benarnya kerana apabila diberi peluang untuk bertanya, saya akan bertanya. Pemikiran saya sering dipenuhi banyak persoalan. Ia adakalanya sukar dikawal kerana ada masa dan ketika, hanya memerhati pada satu pemandangan, persoalan mula terbentuk dalam kotak akal.
Nah! Menekuni (bukan sekadar baca) buku ini umpama berguru dengan seorang pemikir, hatta dikumpul sisi pengajarannya dari persoanliti yang berbeza, membantu saya menyeimbangkan semua ini bermula dengan, cara menyoal dan cara berfikir. Betapa SABAR itu amat perlu.
Petikan dalam halaman 367:
"Hati-hati ketika kamu menyoal mengapa kerana kadangkala ia memesongkan fikiran daripada haknya, menjadikan ia hilang pertimbangan sisi daripada sunahnya. Lalu timbullah bicara yang menjadi penambah pada yang tersedia."
i- kata-kata daripada watak Johari Salim kepada Usamah, watak utama.
Jika saya mengulas buku ini di Goodreads daripada sudut pandang seorang pembaca tegar, untuk blog, saya menilai karya hebat ini dari sudut pandang seorang penulis.
Saya menemukan titik persamaan walau lain bidang iatu bidang penulisan dan bidang kaunseling. Ia berkenaan dari segi menyoal dan pertanyaan. Wajarnya seorang Kaunselor perlu bertanya untuk mendapatkan maklumat tuntas daripada klien agar klien dibimbing untuk pencarian solusi dengan sewajarnya. Begitulah halnya sebagai penulis tidak akan berupaya menulis jika tiada soalan-soalan yang perlu dibereskan jawapannya. Namun, bagaimana pula perkara yang tidak perlu dipersoalkan dan bagaimana memahirkan diri dalam seni menyoal?
Bersama Usamah dalam misinya menemukan jawapan tentang kehidupan amnya - hal rezeki, tanggung jawab kepada tuhan dan tanggung jawab sesama manusia, menerima ketentuan takdir, bangkit selepas patah hati dan ubat mujarab untuk mendorong diri sendiri adalah dengan membantu orang lain. Dengan tidak sengaja, Usamah tersedar apabila dia pula yang membantu orang lain dalam 2 situasi yang berbeza. Seorang remaja yang seolah-olah berputus asa kerana mengidap penyakit kronik dan jiran warga Indonesia yang tidak berpendidikan tinggi namun memiliki pengalaman cukup luas tentang hidup sekaligus mengajar Usamah dalam banyak perkara.
Inilah keindahan buku ini kerana setiap watak yang ditampilkan saling berkait dan menambah nilai pada perkembangan watak Usamah. Apatah lagi buku ini juga menyerlahkan ilmu pengetahuan Usamah dalam bidang penulisan, walau ada masa dan ketika Usamah sendiri tidak yakin apa yang sedang dilakukannya tetapi dia tetap mencuba sedaya boleh kerana sifat baik Usamah adalah seorang yang tidak mahu menghampakan orang lain dan bertanggung jawab untuk memberi yang terbaik walau hakikatnya dirinya sendiri goyah. Pada peringkat inilah, anda disajikan dengan teknik-teknik menulis secara asas yang pada pendapat saya cukup membantu memberi anda memahami penulisan sekaligus apa tugas penulis.
Banyak lagi sisi pengajaran daripada buku ini yang boleh diketemukan, bergantung kepada cara anda menekuni dan menilainya atas dasar pengetahuan dan pengalaman anda sendiri.
Saya petik perenggan daripada halaman 15:
"Hidup ada proses dan hasilnya cuma dituai selepas mati. Sekiranya di dunia ini sudah menuai hasilnya, ia cuma bonus yang sangat sedikit berbanding hasil utamanya nanti."
Comments
Post a Comment