Nyanyilah Lagi Suci | Cerpen Terbit - Antologi

 



---------------------------------------------------

Cerpen 'Nyanyilah Lagi Suci' ini antara cerpen yang dimuatkan dalam antologi 'Takut' dan telah diterbitkan pada tahun 2020.

-------------------------

Tangan kanan menggenggam rapi satu bungkusan plastik berisi sisa ikan yang sudah siap dibuang kuahnya. Tatkala Makcik Eda muncul bersama bungkusan ini, saya tergamam. Saya akan membeli ekstra lauk ikan disamping juadah makan malam sekembali dari kerja. Sisa ikan dibersih dan digaul bersama nasi, sebelum diberi makan pada kucing-kucing yang berkeliaran di lorong belakang kediaman saya. Makcik Eda telah ternampak saya sedang menaburkan makanan pada kucing-kucing itu petang semalam. “Nak tumpang berkat,” kata Makcik Eda. Dia berpesan, mulai hari itu saya tidak perlu membeli lagi lauk tambahan. Datang ambil sahaja bungkusan habuan daripadanya untuk diberi pada kucing-kucing itu.

            Irama lagu tidak tentu butir bermain di bibir. Saya tidak perlu naik ke kediaman terlebih dahulu. Hayunan kaki terus menuju ke lorong belakang. Saya mengiau dengan niat memanggil kucing-kucing sekitar situ. Mata meliar tercari-cari. Selalunya sekali panggil, empat lima ekor kucing akan berlari mendapatkan saya. Tetapi tidak pada hari itu. Saya ulang seru. Seekor kelibat pun tidak kenampakan.

            Saya panjangkan langkah menyusuri lorong sehingga ke penghujung, masih tidak berhenti mengiau. Dada berdegup kencang. Terfikir-fikir nasib kucing-kucing itu sewaktu berpatah balik di lorong yang sama. Meliar sorotan mata serata pelosok. Entah mengapa, hati tergerak untuk menghampiri tong sampah besar. Saya menjenguk ke dalam.

            Saya terduduk di atas jalan tar berlecak air sampah yang membentuk takungan di sekeliling tong. Mata terpejam. Perut yang memual mendadak penyebab saya termuntah di situ, mengeluarkan segala isi sarapan. Mata masih dipejam sudah bertakung air yang turut bercucuran. Degup jantung kian kencang dan gelodak perut berlarutan. Sesudah menyaksikan satu kesan kekejaman, tidak sanggup untuk terus-terusan berada di situ. Walau pandangan mata berpinar-pinar, digagahkan juga berdiri. Saya tahankan diri untuk tidak meraung walau remuk hati tidak terungkap.

            ‘Siapa yang tergamak memancung kepala setiap kucing itu?’ Lima bangkai bergelimpangan tanpa belas kasihan. Darah masih membuak-buak daripada leher yang tidak berkepala. Pasti kejadian ini baharu berlaku. Lima pasang mata daripada golekan kepala tidak berbadan terbeliak ngeri. Kaki dan tangan kaku ke atas masih terkeluar kuku-kuku panjang.

            “Itu amaran. Ramai lagi akan menerima nasib seperti kucing-kucing itu jika kau enggan,” satu suara garau menerjah mendadak dari arah belakang. Saya berpusing terperanjat. Di hadapan saya berdiri satu bentuk jasad berpakaian laksana pendekar purbakala. Wajahnya tidak jelas, disembunyi di balik sebentuk topeng berwarna hitam yang membentuk hidung, mulut dan rongga mata. Tersisip dua bilah pedang kiri dan kanan manakala tangannya yang berbalut menggenggam sebatang kayu panjang. Saya mengesan aura jahat daripada jasad ini. Amarah melonjak kerana saya tahu kucing-kucing itu menemui ajalnya di tangan jasad jahat ini.

            “Kalau kau ada urusan denganku, kenapa kucing-kucing itu yang kaubunuh?” Tiada rasa gentar barang sekelumit.

            “Ikut aku sekarang. Kalau kau enggan, nyawa orang yang kaukasihi akan melayang!” ugutan menggantikan jawapan.

            Wajah Mek Na menerpa dalam benak. Spontan kepala digeleng seraya satu keluhan dilepaskan. “Baiklah.”

            “Pegang kayu ini,” arah jasad jahat itu. Saat kayu dalam genggaman, penglihatan saya kabur dan rasa sakit pada kepala tidak terperi. Tubuh saya diasak dengan kuat oleh satu putaran yang berdesing di telinga. Gelodak perut memungkinkan saya akan muntah sekali lagi. Tubuh bergegar dan berapungan seketika hinggalah terasa dihumban ke dasar. Saya terjelepok pada satu hamparan dingin dirasai pada kaki dan punggung. Apabila mata dibuka, gelap pekat menjamu pandangan. Mata dipicing ke satu sudut yang tampak biasan cahaya malap.  Bau hapak menusuk. Satu pintu berjerisi besi terkatup rapat. Jelas kini, saya sudah menjadi tawanan dalam sebuah bilik kecil yang tidak ketahuan lokasinya. Segalanya berlaku dalam beberapa kedip mata. Keberadaan dalam dimensi berlainan tidak dapat disangkal.

            Satu sosok menghampiri. Ia memusatkan tubuhnya bersetentang saya. Pintu jeriji menjadi pemisah menyukarkan untuk tampak jelas wajah yang berselindung di sebalik topeng yang serupa seperti jasad sebelum ini. Pakaiannya juga laksana pendekar namun tampak mewah dengan gemerlapan perhiasan yang menyalut leher, pergelangan tangan dan keliling pinggang. Saya boleh meneka gerangan siapakah sosok ini. Rasa kebencian yang meluap menahan saya daripada menyebut namanya.

            “Kau nampak tidak terkejut.” Ia bersuara. Suaranya dalam dan garau. Saya tidak mengesan sebarang aura pada sosok ini. Pasti darjatnya tinggi kerana ia bisa menangkis diperlihatkan auranya.

            “Jika kau harapkan dia datang sebagai galang ganti nyawaku, lupakan. Aku tidak bermakna pada dia. Kau lepaskan sahajalah diriku. Duniaku dan dunia kau tidak sama. Kau selesaikan sahajalah masalah kau tanpa membabitkan seorang manusia seperti aku ini,” tempelak saya tidak menggugat sosok ini kerana satu senyuman mengejek tampak menyeramkan adalah balasan yang diterima.

            “Kau silap, manusia. Dia pasti datang selamatkan kau. Dia akan datang mengotakan janjinya seperti yang pernah dijanjikannya,” keras suaranya membantah. Sekedip mata bersama kepulan asap, dia hilang dari pandangan.

            Saya terduduk. Kerisauan cuba diselindungkan dengan perilaku gagah di hadapan dua makhluk yang memerangkap saya di situ. Hakikatnya, harapan tipis bercampur buntu yang sedang bersarang. Lamunan diganggu oleh nada mesej daripada telefon bimbit.  Kekalutan membuatkan saya lupa akan beg galas terbawa bersama diri yang tercampak ke alam ini.

            Beg galas dibuka tergesa-gesa, lantas telefon bimbit ditemukan dalam poket kecil di sebelah dalam. Saya menatal paparan skrin. Oh! Sekadar satu mesej daripada aplikasi SMULE memaklumkan undangan nyanyian daripada saya bersambut. Ada duet baru. Saya baru sahaja berhajat untuk tidak menghiraukannya tetapi mesej yang disusuli dalam duet SMULE itu hampir membuatkan saya terjerit.

            ‘Kami akan datang, Suci. Bersabarlah. Teruskan semangat yang dibawa.’ Nama penyanyi yang memenuhi undangan nyanyian itu tasneem_33. Lucu juga bila memikirkan kejanggalan yang sedang berlaku. Berada dalam alam lain pun masih boleh menggunakan internet seperti sedia kala. Mungkin saya masih di dunia ini tapi pada dimensi yang berbeza. Saya sumbatkan fon pada corong telinga. Nyanyian yang berkemundang sengaja diubah lirik walau melodinya masih sama. Penyanyi yang menggunakan nama tasneem_33 ini merekod dengan audio. Bait lirik yang dinyanyikan terselindung beberapa mesej tertentu. Saya tersenyum meleret kerana saya tahu siapa dia. Dua bulan yang lalu hidup tidak serumit ini.

 

*****

            Nama saya Suci. Saya tidak tahu siapa ibu bapa saya. Mak angkat saya, Mek Na bercerita saya telah dijumpai oleh orang awam di dalam sebuah tong sampah.  Menurut pihak hospital yang merawat saya, tiada apa pun yang dijumpai bersama saya yang baru berusia beberapa jam. Jika sedikit lambat, barangkali sudah menjadi makanan anjing liar.

            Saya ditakdirkan untuk terus hidup walau manusia yang melahirkan saya mahu saya mati. Belajar bersungguh-sungguh dengan harapan dapat kerja bagus supaya tiada bergantungan lagi pada Mek Na. Kehidupan di Rumah Anak Yatim Ehsan Bakti acap kali mengharapkan ehsan daripada orang ramai dan aktivis kebajikan untuk kelangsungan hidup kami semua.

            Mek Na sering membebel perihal diri belum ada teman istimewa. Keyakinan hilang pada insan bernama lelaki selepas peristiwa dipermainkan oleh satu-satunya mantan teman lelaki sewaktu masih bergelar penuntut universiti. Perbuatan menyanyi yang dilakukan sekadar menghiburkan hati mendapat perhatian rakan-rakan. Maka bermulalah aktiviti menyanyi di khalayak. Masuk alam pekerjaan kurang masa terluang untuk itu.

            Saya perlu ke tapak binaan kerap seawal pagi dan kembali ke pangsapuri sesudah malam menjelma. Hujung minggu bukanlah waktu terbaik untuk menyanyi di pusat karaoke kerana rata-rata rakan seusia saya sibuk membina keluarga baharu mereka.

            Terima sahaja duit bonus, lalu dibelanja untuk belian telefon pintar yang saya kira cukup canggih. Bersosial bukan kepakaran saya. Memadailah ada satu alat untuk berhubung dan ditempelak beberapa kali kerana ketinggalan zaman tidak menjadi persoalan selama itu.

            Saya menjumpai aplikasi SMULE. Aha! Peluang untuk menyanyi sepuas hati tidak terbatas dengan masa dan ruang. Memakan tiga bulan sudah ramai pengikut di SMULE. Hujung minggu adalah peluang untuk dibuka jemputan nyanyian dan menemukan pelbagai ragam manusia. Rasa seronok untuk satu ketika sehinggalah berlaku kejadian luar biasa pada hidup saya yang monotonous.

            Usai merakam dendangan nyanyian, rakaman akan diputar semula untuk menyemak andai kata ada sumbang. Begitu saya mengambil berat akan perkara ini sehingga jika tidak berpuas hati dengan mutu lantunan suara, ulangan nyanyian akan dibuat. Saya sedang menyemak dendangan lagu lama yang pernah dipopularkan oleh kugiran terkenal era 80-an, ‘Freedom’ berjudul ‘Mulanya Di Sini’. Pada mulanya tidak perasan akan wujud satu kepelikan. 

            Aplikasi SMULE boleh dirakam dalam bentuk audio dan video. Semasa menyanyi si penyanyi perlu berhenti untuk rangkap yang kita khususkan pada penyanyi undangan yang sudi berduet dengan kita. Semasa mula berjinak-jinak dengan SMULE ni, saya cuba meniru stail penyanyi otai SMULE. Apa daya tarikan mereka sehingga begitu ramai pengikut dan ramai yang sudi berduet.

            Saya cipta gaya tersendiri dengan mengucapkan terima kasih diiringi lambaian bersulam senyuman manis di penghujung nyanyian.  Inilah kali pertama saya terperasan ada sumbangan suara lain yang membalas ucapan terima kasih. Ungkapan ‘sama-sama’ begitu halus dan perlahan. Andai kata mendengar sekali lalu benar-benar tidak perasan terutama jika mendengar rakaman yang sudah berduet penyanyi SMULE lain.

            Kebetulan malam itu, volum dikuatkan dalam mendengarnya sambil lewa. Bulu roma tegak berdiri sekaligus terkesima ketika mengesan suara itu. Iras suara saya tetapi lembut dan sangat perlahan. Berulang kali memainkan rakaman berharap ia khayalan semata-mata. Pautan rakaman itu dikirimkan pada rakan sepejabat yang dipercayai boleh menyimpan rahsia. Dia sependapat saya.

            Seakan merasai ada hubungan rapat dengan pemilik suara itu, tetap rasa cuak kerana terkesan tapi tidak membantutkan hobi nan satu. Saya bukan tidak ambil pusing kejadian itu. Bila ia berlaku dua kali lagi dalam rakaman nyanyian seterusnya, kemusykilan mengundang. Makhluk apakah yang begitu berminat menghiburkan hati bersama nyanyian-nyanyian saya?

            Kali kedua saya menerima pujian ‘sedap’ di pertengahan dendangan lagu dan kali ketiga, agak melucukan bila ia menyanyi dua bait lirik. Bukan calang-calang lagu. Dendangan lagu ‘Be With You’ oleh kumpulan ‘Mr Big’ yang pernah menjadi siulan anak muda era lewat 90-an. Saya tidak terus melatah. Seperti kejadian sebelum itu, sesudah menyemak dan memohon bantuan kawan untuk pengesahan, barulah saya berani katakan ia bukan khayalan.

            Akal saya yang hauskan fakta memerlukan perincian konkrit daripada sumber sahih. Persoalan ini sentiasa menerawang dalam benak tapi dek kesibukan bekerja, memaksa diri mengetepikan soal untuk membuat kajian tentang hal ehwal ilmu ghaib dan alam paranormal.

 

*****

            Makhluk ini sunyi. Tiada kesan atau petanda memberi bayangan adik kandungnya berada sekitar makhluk ini. Deria hidunya mengesan bau tubuh si adik bangkit di sekitar makhluk ini tetapi tiada kenampakan sosok tubuh.

            Sebegitu lama memerhati, telinganya dijamu dengan kemerduan alunan dari dua ulas bibir milikan makhluk itu. Baru sebentar tadi manusia ini menilik pada satu benda nipis di telapak tangannya. Sepasang telinganya terurai satu tali panjang disumbat ke dalam kedua-dua telinga sebelum bibirnya bergerak-gerak bersama intonasi melodi tinggi rendah.

            Begitu asyik menadah telinga dan matanya bertaut dengan sepasang mata milik makhluk itu. Yakin bahawa dia tidak boleh dilihat oleh mata kasar makhluk yang dipanggil manusia ini, namun dadanya tetap bergetar bila seakan-akan ditenungnya. Beberapa kali tumpuan matanya melilau seakan mencari-cari sesuatu. Manusia ini dapat menghidu kehadirannya berpandukan keupayaan semula jadi.

            Ah! Manusia ini benar-benar membangkitkan nostalgia. Kemerduan suaranya mengusik hati mahu turut bernyanyi. Jika benar Yulani ada muncul di sisi manusia ini pasti adiknya juga tidak terlepas dialun dengan keasyikan melodi lembut yang menerjah. Berangkap-rangkap irama tanpa henti. Sesekali dia berhenti untuk minum air seteguk dua kemudian menyambung bersama alatan yang tidak pernah lepas dari genggamannya itu.

            Jiwanya berbolak-balik. Yulani sepertinya, cepat terpesona pada dendangan irama tambah-tambah ia dialun dengan suara semerdu ini.

 

*****

 

            Saya rasa ada mata yang memerhati sejak kebelakangan ini. Bila ditoleh ke arah yang dirasai wujudnya rangsangan renungan, tiada apa yang kelihatan. Malah ada masa dan ketika telinga dapat menangkap sayup-sayup bunyi aneh. Agak menjengkelkan kerana sekali sekala terjaga akibat desir bunyi halus. Ia disusuli kenampakan bayangan yang ghaib serta-merta bila mahu diamati.

            Satu awal malam hujung minggu renungan yang dirasai memuncak. Saya yakin gerak-geri sedang diperhatikan. Amarah berbangkit bergaul ketidakselesaan. Cuba bayangkan bila ruang peribadi kita dicerobohi? Seakan-akan dipertontonkan dalam rancangan realiti televisyen. Setiap sudut ada kamera merakamkan.

            Sedikit rasa lucu terbit di hati. Entiti apakah ini? Tiada aura ancaman. Usai solat Maghrib dan menghabiskan baki bihun sup, saya menutup suis lampu utama di ruang tamu. Sebatang lilin yang dijumpai dalam rak dinyalakan. Saya menarik nafas dalam-dalam dan bulatkan tekad untuk bersemuka.

            Saya memulai dengan memberi salam. Kemudian berfikir mungkin dia bukan entiti yang boleh menjawab salam lalu diucapkan ‘Selamat Malam’. Selang seminit berbisik tapi jelas memintanya memunculkan diri.

            Tiada jawapan. Malam ini sedikit dingin. Ayat-ayat jemputan untuk entiti ini menyambut pelawaan saya, diulang. Masih hening dan sunyi. Masih menunggu penuh sabar.

            Usai mematikan niat untuk login aplikasi SMULE tetapi ini telah mengingatkan saya untuk bertanya soalan tersebut. Persoalan yang sudah sekian lama menyumbang satu misteri pada kehidupan ini.

 

*****

 

            Aku kagum dengan manusia ini. Dia tahu aku berada sekitarnya, mengekori dan memerhati. Dia tidak pernah menunjukkan rasa gusar, takut jauh sekali. Aku dapat mengesan jiwanya tabah. Bukan aku sahaja satu-satunya makhluk yang berada di situ. Ada sahaja makhluk lain. Mereka makhluk pendendam berniat tidak baik pada manusia ini. Mereka mencemuhku dengan mimik mengejek makin menghodohkan paras rupa mereka yang sedia menjijikkan. Mereka bertempiaran lari bila azan berkumandang atau manusia ini membacakan kalimah daripada kitab lusuh itu.

            Dia tidak menelek benda nipis itu malam ini. Ia terletak betul-betul bersebelahannya. Timbul sedikit keinginan mahu mendengar nyanyiannya seperti selalu tetapi malam itu aku menerima kejutan dengan soalan-soalan yang diutarakan.

            Soal manusia ini, adakah aku atau makhluk lain yang timbul dalam rakaman nyanyiannya? Dia menyebut satu perkataan. SMULE. Adakah SMULE itu nama benda yang saban masa tidak berenggang daripadanya? Menurut ceritanya dia hanya bercakap seorang namun ada sesuatu yang telah dirakam bersama nyanyian dalam alat itu. Yulani?

 

*****

 

            Nafas mencungap-cungap ketika terjaga daripada tidur dan masih teringat-ingat mimpi ngeri yang baru dilalui. Saya mahu bersemuka dengan entiti yang menyentuh bahu umpama rama-rama hinggap dan bertiup lembut pada telinga.

            Mata dikedip-kedip dalam samar-samar cahaya lampu di atas meja sisi katil yang sememangnya akan dipasang sepanjang malam.

            “Kau. Kau yang sentuh dan bertiup di telingaku. Tunjukkan diri kau sekarang. Aku tahu kau ada. Berhenti sorokkan diri. Menjelmalah di depanku ini.”

            “Aku di sini.” Satu suara lunak kelakian menyahut.

            Berderau darah saya. Memanglah sudah ditekadkan diri untuk bersemuka dengan entiti yang sekian lama dianggap mengganggu hidup yang hambar ini tetapi bila kedengaran suara yang sayup-sayup seolah-olah sangat jauh itu, mahu tak terperanjat dibuatnya.

            Lambat-lambat saya memberi gerak balas. “Nama aku Suci.”

            “Aku tahu nama kau.”

            Saya kelu dalam beberapa saat. Memandangkan tidak mahu berputih mata, harus diteruskan dengan debaran di dada yang masih menguasai emosi.

            “Kau dah tahu nama aku, adil kiranya aku pun tahu nama kau. Kau ni apa? Jin? Iblis? Atau alien? Kenapa kau selalu tenung aku? Kau jugakah yang selalu buat bunyi-bunyi pelik itu? Apa kau nak daripada aku?”

            “Soalan kau banyak.”

            “Mestilah banyak. Kiranya kehadiran kau ni dah ceroboh hidup aku. Aku berhak tahu kau siapa dan kenapa kau sentiasa memerhatikan aku.”

            “Kau kata aku ceroboh kau tapi pernah kau berfikir yang kau juga mencerobohi dunia aku?”

            Saya terdiam. Tiada jawapan bernas mampu diberi. Mendehem berulang kali dengan harapan debaran saya tidak pula bertukar gugup.

            “Macam mana aku nak tahu aku ceroboh atau tidak sedangkan aku tak nampak pun kau atau dunia yang kau diami? Bukan sepatutnya semua makhluk tuhan perlu saling hormat dan tidak mengganggu dunia masing-masing sungguhpun paralel pada satu planet iaitu bumi?”

            Saya mendengar suara mengekek. Geram ditertawakan. Masih tidak nampak entiti yang sedang berdialog dengan saya.

            “Aku nak kau munculkan diri. Kau nampak aku tapi kau takutkah nak tunjuk rupa?”

            Hening. Jeda. Agak lama. Saya hampir menganggap entiti itu telah beredar, bila kedengaran suaranya lagi, penamat dialog antara kami.

            “Aku akan datang lagi. Kau bersedia sahaja untuk kau temukan jawapan atas semua soalan tadi. Sebab aku juga mahu tahu sesuatu daripada kau.”

 

*****

 

            Kegiatan menyanyi di SMULE berterusan seperti selalu dengan pertambahan pengikut dan jumlah lagu. Saya baru hendak menyanyi lagu ketiga untuk memenuhi undangan jemputan penyanyi lain apabila tiba-tiba satu angin kuat menampar sisi kanan. Nyaris-nyaris terlepas telefon bimbit dalam genggaman. Lampu di ruang tamu terpadam serentak. Sejurus itu saya tahu entiti itu telah muncul. Tatkala mendengar suara yang sama tempoh hari menerjah gegendang kanan gementar menyusup segenap sel.

            “Suci, mari, ikut aku,” arahnya pada saya.

            Jika saya tidak memejam mata sekali pun, pandangan mata tetap gelap kerana langsung tiada sebarang sumber cahaya.

            Saya membuka mata. Berdiri dengan aura penuh keangkuhan di hadapan saya ialah seorang pemuda gagah dengan renungan tanpa sebarang emosi. Pandangan matanya menerbitkan perasaan yang serupa acap kali merasai ada sesuatu sedang memerhatikan saya. Ia bukan janggal atau rasa diancam. Ia satu perasaan saat kita merasakan ada seseorang begitu leka merenung kita. Lebih kepada rasa gelora ingin tahu.

            Gementar tidak hilang namun masih mampu melemparkan satu senyuman bersahaja pada pemuda ini sebelum bersuara. “Jadi, awaklah yang memerhatikan saya selama ini?”

            Dia mengangguk. Pastinya dia makhluk ghaib yang mirip manusia. Tubuhnya seperti manusia begitu juga tiada keanehan pada paras rupanya. Bukanlah seperti makhluk asing yang dipertontonkan dalam filem paranormal seperti kewujudan sesungut, tanduk, bermata satu, bentuk telinga tajam atau bertaring. Warna kulitnya sangat putih hampir lutsinar. Melihatkan pakaiannya pula, seakan-akan berada di set penggambaraan filem purbakala. Berbaju Melayu serba hitam dengan tanjak yang berwarna perak keemasan dan sebilah keris tersisip di pinggang. Saya cubit telapak tangan kiri dengan harapan bangkit ke alam nyata, selamat dan selesa di rumah sendiri.  Sebaliknya, saya sudah berada di satu tempat terasing.

            Dia menjemput masuk ke dalam sebuah istana lama. Lelaki-lelaki tegap yang tegak berdiri memberi tunduk hormat padanya. Sejurus itu, saya dibawa oleh sekumpulan perempuan yang berbusana tradisional sedondon ke sebuah bilik yang keseluruhan hiasannya diperbuat daripada warna kuning keemasan. Tiada kerusi. Hanya meja yang penuh bersusun bunga-bunga segar dan beberapa talam berhidang aneka juadah. Saya dipelawa bersila dan menjamu selera. Senyuman dan anggukan diberi atas keramahan mereka.

            Ketika saya dibiarkan berseorangan kecuali pengawal yang mengawal pintu di sebelah luar, seorang wanita yang berusia dan mahu saya memanggilnya Che telah memaklumkan segalanya tentang pemuda itu. Namanya Yuri.

            Saya berada di alam bunian dan Yuri ialah ketua salah satu mukim di daerah situ. Jika dia hidup di alam manusia, boleh jadi berstatus Laksamana. Yuri ada seorang adik perempuan bernama Yulani.

            Yuri masuk dan semua pengawal diarahkan keluar. Tinggal dua pemuda tegap yang langsung tidak bersuara sebaliknya merenung saya dengan tajam. Rasa gentar tapi cuba berselindung dengan melarikan pandangan.

            “Kau mahu aku ceritakan segalanya. Adakah kau sudah bersedia?” Yuri bersuara lembut. Tunak matanya benar-benar mengamati wajah saya.

            Gentar di dada masih berlingkar namun kebetahan untuk situasi tegang sebegini akan membuatkan hati saya kering tidak berperasaan. Dengan muka bersahaja, saya membalas, “Saya sememangnya ternanti-nanti.”

 

*****

 

            Selalunya pada waktu begini saya sudah dibuai mimpi. Secangkir kopi pekat pun belum cukup untuk membuatkan diri terjaga andai kata benar-benar keletihan. Kepala ligat mengingatkan kata dua majikan yang mungkin mengakibatkan saya kehilangan kerja. Hilang tiga hari tanpa notis dan muncul bekerja dengan wajah tidak bersalah adalah perkara sangat serius.

            Saya menerima segala pertuduhan dengan rela. Amat mustahil mengalami kehilangan memori sebab kebiasaan hujung minggu selepas membungkus nasi dan memberi makan kucing-kucing liar, saya leka mengulit novel. Yuri hadir di sudut di mana dia selalu memerhati. Saya menoleh apabila dia mendehem. Saya tidak diberi masa yang lama pun untuk memberi jawapan sebaik sahaja diberitahu yang dia akan membawa saya ke dunianya. Ikut logik pekiraan akal, mungkin paling lama sehari.

            Yuri mencari adiknya, Yulani. Betullah telahan saya selama ini, dinding di sebelah tepi katil ada kuasa magis di situ. Seringkali dirasakan bahang pada telapak tangan bila dihalakan ke situ. Rupa-rupanya di situlah pintu keluar masuk Yuri dan barang kali juga Yulani.

            Masalahnya sekarang, kenapa Yuri beriya-iya mengatakan Yulani pernah beberapa kali menjengah ke rumah sedangkan saya langsung tidak perasan kehadirannya? Adakah suara yang saya dengar dalam rakaman itu milik Yulani?

 

*****

            “Amirul Yuri, utusan puak Ekramal sedang berlabuh di hulu, bertentangan dengan bukit Pulasan. Mereka hanya menunggu titah Amirul untuk bersedia ketemu.”

            “Baiklah, habis curut di jari ini, benarkan mereka mengadap di balairung seri.”

            Pertemuan yang dimaksudkan tidak berakhir dengan baik seperti yang dijangka.  Fikiran Yuri kusut. Seandainya janji yang dimeteri antara Mukim Ekramal dan Mukim Raksawira tidak bertunai, tanah airnya bakal tergadai. Yulani yang diharapkan, menghilang diri entah ke mana 

            “Amirul Yuri, mohon patik berbicara barang sebarang cadangan yang mungkin boleh Amirul pertimbangkan. Sewajarnya kita kumpulkan para pahlawan kita dan bersiap siaga untuk bertempur dengan segenap rakyat jelata Ekramal, Amirul. Mereka datang ke mari membawa ugutan dengan angkuh, gerunnya tiada dengan bala tentera kita sahaja yang berganda daripada separuh jumlah penduduk Mukim Ekramal. Cik Puan Yulani….” Suara panglima kanan Yuri bersuara memecahkan hening yang meruncing di segenap ruang.

            “Adikku tetap akan kujodohkan dengan Ketua Mukim Ekramal,” tingkah Yuri sekaligus menamatkan sebarang lontaran buah fikiran daripada mereka berempat yang setia berkhidmat dengan Yuri lebih 30 abad. Mereka masak dengan sikap Yuri yang sekali sudah membulat hatinya, tiada siapa yang mampu mengubah fikirannya.

            “Kamu berempat.” Yuri bersuara semula. Empat tubuh sasa sudah tegak terpacak menanti pemimpin mereka mengeluarkan arahan. Sambungnya, “Beredar sekarang. Siap sedia persiapan. Kita tidak boleh bertangguh kembali ke alam manusia itu.”

 

*****

 

            Tidur terganggu dengan satu sentuhan lembut di telapak kaki seumpama rama-rama yang hinggap, terbang dan hinggap kembali. Sambil mengesat-ngesat mata yang terpisat-pisat, pandangan saya tertancap pada dua sosok tubuh tinggi yang berdiri di hujung katil. Mujur tiada maki dihamburkan seraya mengurut dada. Segera membalut tubuh dengan gebar yang bergulung di hujung kaki.

            “Ya Allah, Yuri. Tidakkah awak rasa bersalah terjah di tengah malam sebegini? Dengan keadaan saya sekarang amat kurang sopan.”

            Tidak semena-mena, Jose, panglima Yuri melangkah seakan mahu menerkam saya. “Berani kamu memarahi Amirul! Dan kamu sangat biadap memanggil Amirul sebegitu!”

            Saya tidak berlengah. Terjun dari katil dan berlari menuju ke ruang tamu dalam keadaan gelap gelita. Saya mengaduh tatkala kaki terhantuk pada kaki meja, tangan menggapai meraba dinding untuk mencari suis lampu. Terang sahaja seluruh ruang tamu, ternampak Yuri memegang bahu Panglimanya dan berbisik sesuatu padanya. Wajah bengis Jose berubah kendur lantas membatu di tepi tiang lampu.

            “Di tempat kami adalah siang,” jelas Yuri.

            Jeda mengisi ruang sebelum Yuri mendekati saya. Ketika dia merenung saya, baru kali ini dapat menelek wajahnya. Saya membayangkan ada segelung cahaya berpusar-pusar di atas kepalanya dan biasan cahaya membentuk warna-warna pelangi. “Saya mahu minta tolong kamu, Suci.” Ketelusannya jelas walau nadanya tegas.

            Saya menghembus nafas. “Sekarang?”

            Satu anggukan sebagai jawapan.

            “Di tempat kamukah Yuri?”

            Yuri berkerut. “Di sini. Yulani ada di sini. Tunjukkan pada kami bagaimana.”

            “Baiklah. Duduklah dulu. Kita tunggu hari siang. Mahu minum? Saya buatkan air dahulu.”

            Yuri bergeleng. “Kita kena segera. “

            “Saya bersiap dahulu.” Saya menapak ke bilik dengan seribu satu persoalan.

            Tidak masuk akal bagaimana mereka boleh menjelma seperti manusia. Mahu bertanya adakah mereka meminjam tubuh manusia untuk wujud sebagai jisim berjasad tapi entah mengapa lidah menjadi kelu bila persoalan itu terlintas dalam fikiran. Cuma, Yuri berpesan supaya tidak membawanya keluar terlalu lama. Saya sendiri pun tidak tahu di mana hendak memulakan pencarian. Yuri seolah bertindak seperti aplikasi Waze sementelah saya memandu berpandukan apa yang diberitahunya. Berpusing-pusing sekitar ibu kota, berhenti kemudian sambung memandu hampir dinihari. Namun, masih tidak menemukan sebarang kelibat Yulani, walau Yuri dapat mengesan tanda-tanda kehadirannya.

            Yuri pulang dan berjanji akan kembali dalam masa beberapa hari lagi. Dia tidak dapat menunaikan janji kerana saya telah ditawan terlebih dahulu oleh seorang pendekar perwakilan Ketua Mukim Ekramal.

 

*****

 

            Tubuh saya diseret kasar kemudian ditolak menyembam bumi. Mujurlah kepala diserkup dengan sehelai kain maka ia menjadi pelapik pada permukaan muka yang hampir cedera. Saya mendongak sesudah serkup itu dibuka. Tangan saya masih berikat. Sebelum itu dapat didengari suara Yuri dan suara Ketua Mukim Ekramal dalam bicara yang tidak tentu butirannya pada pemahaman seorang manusia.

            Yuri memandang sekilas pada saya. Seorang wanita jelita seumpama bidadari khayalan berdiri di sebelah Yuri. Yuri memegang bahu wanita jelita itu sambil berkata, “Yulani, pergilah.”

            Yulani mengerling saya yang sudah berdiri lalu mula mengatur langkahnya menuju ke kedudukan Ketua Mukim Ekramal segak berdiri penuh angkuh. Wajahnya masih diselindungkan oleh topeng yang sedikit berlainan begitu juga pakaiannya.

            “Ke mari Suci.” Yuri mengarahkan saya yang masih terpinga-pinga di pertengahan ratusan makhluk beraneka rupa dan paras agak menyeramkan siap siaga bersenjata. Saya menurut. Ketika Yulani dan saya berselisih dalam satu jarak tidak sampai sedepa, tiba-tiba suara-suara gegak gempita membelah keheningan itu. Yulani merentap tangan seraya berbisik, “Pegang batu ini, Suci. Fikirkan tempat yang selamat.”

            Saya teragak-agak setelah pandangan dilemparkan pada suasana gamat dengan tidak semena-mena. Satu pertempuran meletus antara Mukim Ekramal dan Mukim Raksawira.

            “Cepat Suci!” Yulani memekik lantas tangan saya menyambut tangan Yulani yang sedang menadah bersama batu hijau bergemerlapan di atas telapak tangannya.

            Saya kembali dalam bilik di kediaman. Yulani terdampar di atas lantai. Saya goncang bahunya berulang kali. Mata Yulani terbuka dan sedikit senyuman lemah terukir pada dua ulas bibirnya yang merah. “Kita tak boleh berada lama di sini, Suci. Konco Amirul Daden pasti cari kita di sini,” suaranya terputus-putus.

            Saya bingkas mencapai kunci kereta pendua dalam laci lantas menarik tangan Yulani. Satu sahaja tempat selamat yang terlintas di fikiran. Kembali ke tempat saya dibesarkan.

            Mek Na sedikit terkejut menerima ketibaan saya pada lewat malam itu tanpa dimaklumkan terlebih dahulu. Riak wajahnya tertanya-tanya identiti sebenar wanita jelita yang menemani. Cerita rekaan saya bahawa Yulani adalah seorang kenalan dan memerlukan tempat bermalam sehari dua pastinya tidak dipercayai Mek Na.

            Menjelang hampir Subuh, Yulani berbisik pada saya sewaktu semua orang sedang nyenyak tidur. “Suci, saya akan panggil Yuri ke mari sekejap lagi. Saya harus pergi sekarang. Terima kasih atas pertolongan awak selama ini. Saya janji tidak akan muncul lagi dalam nyanyian-nyanyian awak.”

            Saya memprotes. “Awak nak pergi begitu sahaja, Yulani? Awak nak serah diri pada Ketua Mukim Ekramal? Bukankah sana sudah tidak selamat untuk awak?”

            Yulani membungkam.

            “Betul kata Suci, Yulani,” suara Yuri tiba-tiba datang bertandang dalam kegelapan. Saya seakan ternampak satu sosok samar-samar di satu sudut. “Abang akan bawa Yulani ke satu tempat yang tiada siapa tahu. Jangan bimbang tentang Daden. Dia telah mati. Tapi Yulani tidak boleh balik ke Mukim Raksawira. Bila-bila masa waris Daden akan datang menuntut bela.”

            “Biarkanlah Yulani tinggal sahaja di alam ini,” saya mencadangkan. Dua pasang mata merenung saya.

            “Suci… alam ini bukan alam kami. Kami tidak boleh wujud dalam jasad berbentuk apatah lagi hidup di kalangan manusia.”

            “Tapi, bukankah awak wujud dalam nyanyian saya?” tingkahan saya mengundang ketawa kecil daripada Yuri sementara Yulani menjeling pada abangnya.

            “Suara yang terhad sebegitu pun memakan terlalu banyak tenaga. Kami gunakan batu sakti untuk wujud depan awak sekarang tapi terhad tempohnya.”

            Saya terkedu. Yuri mendehem beberapa kali sebelum bersuara, “Yulani boleh berada di alam ini dengan bersyarat. Jika ada manusia yang sudi menjadi pengganti.”

            Saya mendekati Yuri, “Saya sudi.”

 

*****

            Saya belum mati. Kembali ke dunia itu menjadi sesuatu yang mustahil buat masa ini. Mungkin saya dianggap hilang setelah gagal dikesan oleh mereka yang berusaha mencari saya. Saban tahun yang berlalu, diri tidak lagi menjadi orang penting dalam hidup-hidup manusia kerana kehidupan di dunia itu pun tidak membawa makna yang sebegitu besar berbanding kehidupan di sini.

            Gembira rasa hati tatkala melihat ada jemputan nyanyian baru pada aplikasi SMULE. Penyanyi tasneem_33 masih berhubung dengan saya melalui nyanyian-nyanyiannya yang merdu. Saya tidak mampu masuk ke dalam jemputannya kerana tenaga yang ada pada saya kurang ampuh. Bagi melepaskan rindu, hanya diperdengarkan nyanyiannya melalui telefon bimbit yang baru dibelikan olehnya. Saya kira kehidupan barunya di dunia lama saya aman.

            Saya menoleh ke arah pintu gerbang saat mendengar derap kaki makin menghampiri persada indah yang didirikan khas untuk bersantai. Serta-merta satu senyuman terukir di bibir. Hati berbunga-bunga. Mata dilirik manja pada sosok tubuh yang sudah melabuhkan duduk di sisi saya.

            “Sayang, nyanyikan pada kanda sebuah lagu,” wajahnya manis di pandangan mata sejenak ditatapnya saya yang sudah berada dalam pelukannya. Cinta yang wujud dalam hati Yuri tidaklah bertepuk sebelah tangan. Yuri sudah lama memendam rasa cintanya yang terbit sewaktu kali pertama dia menemukan saya yang leka bernyanyi. Atas sebab tanggung jawab yang dipikul untuk keselamatan adiknya, Yuri cuba mengetepikan gelora rasa itu. Sehinggalah bila dia rasa takut kehilangan saya sebagaimana saya takut kehilangannya juga.

 

***** TAMAT *****

Comments