SIAPA JUMPA JAM TANGAN YANI? | Cerpen Tersiar

 


Cerpen ini telah disiarkan di FB Page Arkib Angker Negara pada 28 April, 2021 (klik SINI) sebagai penyertaan Sayembara #LumbaCerpen. Poster telah dihasilkan oleh page yang sama. Kredit kepada Arkib Angker Negara atas penyiaran cerpen ini.

***

Seutas jam tangan bertali kulit tiruan ligat berpusing-pusing antara kepitan ibu jari dan jari telunjuknya. Warna merah saga, sekali pandang umpama pusaran bunga api. Kepalanya menunduk sekali sekala bergoyang tidak menentu. Menuruti alunan lagu rock berkumandang di corong telinga tatkala pen rancak menari-nari di atas helaian kertas. Meja berselerak dengan aneka pen warna-warni dan helaian kertas pelbagai saiz

            "Yani, woi Yani. Kau dengar tak ni?" Satu tamparan kuat singgah di bahu Yani.

            Yani mencabut fon di kepala. "Apa ni? Tampar kuat bahu orang!" Wajahnya merah padam mencerlung tajam pada rakannya yang berbalas renungan sama tajam, tak mahu mengalah.

            Jija menarik muka masam. "Lagu rock pasang kuat kat telinga tu, macam mana nak dengar orang panggil. Kitaorang nak pergi makan. Jom?"

            "Malaslah! Aku makan maggi." Yani berpaling semula ke mejanya dan mahu menyarung kembali fon.

            " Exam next week, Yani. Selalu sangat makan maggi tak elok. Mana kau nak dapat khasiat nak belajar dengan tekun?" bebel Jija sambil menyarungkan hoodie pada tubuh rendangnya.

            "Hemm... nanti aku makan biskut juga," jawab Yani acuh tak acuh.

            "Satu lagi, jam tu jangan asyik pusing-pusing kat jari tu. Sekali terlepas, kalau terlanggar kipas yang ligat ni, mahu pecah jam kau tu."

            "Yalah, yalah. Kau nak pergi makan kan? Pergilah cepat, elak beratur panjang."

            Jija mencebik sebelum menutup pintu.  Asrama penempatan siswi tidak ubah mirip rumah panjang di Sarawak. Dinding yang memisahkan antara setiap bilik tidak sampai ke siling. Pelajar yang tidur di sebelah atas katil dua tingkat boleh menjengah kepala ke jiran sebelah.

            Ting!   Berdesing bunyinya.

            "Alamak! Jam aku!" Yani menjerit ketika menyaksikan jam yang asyik diputarnya lenyap sekelip mata. Bunyi berdeting yang kuat petanda pelanggaran jam dengan kipas yang berpusing ligat.

            ‘Masin mulut Jija. Hawau betullah!’ gerutu Yani dan bingkas bangun.

            'Pecah dah ker jam ni? Mana pulak jatuhnya?' bisiknya sambil merangkak-rangkak sekitar bilik yang terlalu kecil itu. Tiada kenampakan jam yang itu. Perutnya sudah berkeroncong tetapi seleranya patah.

...

            Dagunya ditopang di atas meja study membuang pandangan. Bunyi derap kasut menerpa disusuli pintu bilik dikuak.

            "Yani, kau nak tahu tadi kat dewan makan, protes terbesar telah berlaku. Ramai yang tinggalkan sisa ikan jaket atas meja. Aku boleh kata setiap tempat duduk berlaku macam tu," cerita Jija bersungguh-sungguh.

            Yani menoleh seketika pada rakan sebilik sebelum kembali menopang dagu.

            Imah dan Jija berpandangan. Rin menyentuh lembut bahu kawannya. "Yani, kau dah makan? Ini ada buah pisang untuk kau. Aku kenyang, kau ambillah bahagian aku ni."

            Yani mengangguk dan tersenyum nipis pada Rin tapi masih membisu, menyambut huluran pisang.

            "Kenapa ni Yani?” Imah pula bersuara.

            Yani berkalih duduk bersila di lantai. Wajah rakan-rakannya dipandang sekilas sebelum dia memulakan ceritanya.

...

            Yani buntu. Telah ditanya penghuni-penghuni dorm Sabahanaz perihal jamnya. Ikut logik akal, ruang di bahagian siling setiap bilik memungkinkan jam kepunyaannya terpelanting ke bilik lain.  Ada yang mengakui terdengar dentuman kuat tersebut tetapi tiada siapa yang melihat apa-apa, jauh sekali untuk ternampak sesuatu barang terjatuh dari mana-mana.

            Jija mendekati Yani. "Aku tolong cari bawah dorm lepas solat Asar."

            Usai solat Asar, mereka turun ke tanah. Yani dan Jija terpaksa membongkok separa semasa melewati di bawah dorm. Di hulu, terletak bilik televisyen merangkap bilik aktiviti. Di hilir, terletaknya tandas.

            "Tak apalah Jija. Kalau ada orang jumpa, dia pulangkanlah kat aku," Yani bersuara tersekat-sekat selepas berlama-lama mereka mencari merata-rata sekitar dorm.

            "Doa-doalah moga ada yang terjumpa." Jija memujuk lembut. Jauh di sudut hati, kekesalan menerpa kerana menegur Yani sebelum itu.

...

            Lewat malam itu.

            Bertemankan lampu suluh, Yani masih ralit melorek corak di atas kertas berwarna biru. Dia hanya meniarap di atas lantai beralaskan bantal. Hanya sesekali terdengar sahutan burung hantu, dengkuran dan suara batuk-batuk kecil.

            Ketak-ketuk-ketak-ketuk.

            Bunyi hentakan sepatu tumit tinggi menyentak fokus Yani. Dia memasang telinga.

            'Siapa pulalah buang tebiat nak buat job runway ni? Kot iyalah baru beli kasut tumit baru, takkan tak boleh tunggu esok nak cuba pakai?' gerutu Yani.

            Bunyi yang memecah kesunyian itu semakin menghampiri biliknya. Kemudian, derapan itu berhenti betul-betul di hadapan pintu bilik nombor lapan. Bilik Yani dan rakan-rakannya.

            Hati Yani berdebar-debar. Rasa cuak mulai menguasai diri. Dari lubang kecil bawah pintu seakan-akan ternampak bayang-bayang gelap. Biasan cahaya yang datang dari lampu siling koridor bertukar malap akibat terlindung bayang-bayang gelap itu.

            Prang!

            Yani tahu bunyi itu. Bunyi yang selalu dibuat oleh Makcik Kiah, salah seorang pekerja bahagian pembersihan di sekitar kampus. Itu adalah bunyi tatkala penutup tong sampah terhempas ke lantai. Ia bersambung dengan bunyi sampah diselongkar. Bising sekali. Yani menoleh, menumpukan pandangan seketika pada sudut yang menempatkan dua buah katil dua tingkat. Tiada siapa yang berkutik, langsung tidak terkesan dengan bunyi bising tersebut.

            Yani mencurigai ada sesuatu yang tidak kena. Baru bercadang hendak mengintai, bunyi ketak-ketuk-ketak-ketuk itu menjauh. Yani menarik nafas lega. Dia kembali menyambung kerja-kerja seninya.

            Tiba-tiba, bunyi ketak-ketuk-ketuk-ketak itu berpatah semula. Bunyian daripada perbuatan sama berulang. Yani cuba tidak mengendahkan bunyi bising tersebut namun gagal. Rasa ingin tahu meresap dalam diri. Mahu dikejutkan Imah yang tidur di katil bawahnya untuk sama-sama menyiasat. Saat Yani menghampiri Imah, matanya tertangkap pada jam yang terletak di tepi bantal Imah.

            Hampir pukul tiga pagi. Waktu sebegini, ia adalah waktu perantaraan antara dua dimensi dunia. Dia teringat kata-kata Jija itu yang sangat gemar membaca buku-buku mistik dan paranormal.

            Yani tidak berlengah lantas memungut perkakas melukis dan diletakkan sahaja di atas meja study yang berdekatan. Meja study Yani ialah meja yang paling berhampiran dengan tingkap dan pintu. Hilang semangat hendak ke situ. Setelah menghempaskan badannya ke katil lalu dibaca Fatihah dan Ayat Kursi berulang kali. Beberapa kali Yani tersasul menuturkan kalimah suci itu.

...

Pagi itu.

            Yani bergegas membuka pintu untuk dipastikan sesuatu. Dia terpaku di hadapan pintu. Kemas.

            'Tiada sampah berselerakan? Ah, bunyi apa yang aku dengar malam tadi? Aku berjalan dalam mimpikah?' Yani hanya mampu memberontak dalam hati.

            Dua hari telah berlalu. Yani masih belum tergamak bercerita pada rakan sebilik akan kejadian tersebut yang telah berlalu pada hari yang sama jamnya hilang.

            "Arggh, minggu depan dah mula exam. Aku paling takut subjek Management. Kau tahulah, aku ni dahlah jenis payah pick-up bab-bab baca ni. Yani, kau kan pakar subjek Management. Kau tolong aku, weih." Celoteh Jija sekembali mereka dari kampus. Tombol pintu dipusing. Beg sandang dicampak ke atas katil.

            "Panasnya! Yani, kau naikkan lagi motor kipas tu." Jija mengibas-ngibas tuala kecil yang baru dicapainya.

            Yani tidak bergerak.

            "Yani, kau dengar tak ni?" Jija meninggikan suara.

            Yani berpusing menghadap Jija.   "Jija, siapa yang letak jam aku ni atas meja study aku?"

            "Wah! Ada orang jumpa jam kau. Okay tak jam kau tu? Tiada kerosakan?" Jija sudah merampas jam itu dari tangan Yani walau bertubi-tubi soalan ditanyanya.

            "Okay. Tapi kenapa tiada nota? Macam mana aku nak tahu siapa yang jumpa. Jija, pintu bilik kita ni berkunci, kan?" Yani terpaku umpama patung dengan nada suara yang perlahan-lahan. Jija tidak terperasan wajah Yani sudah bertukar pucat kerana tanpa mengendahkan soalan-soalan Yani, dia terus meluru keluar. Terdengar lantang suaranya bertanya.

"Siapa jumpa jam tangan Yani?

Tiada siapa tampil membuat pengakuan sehingga hari ini.

            Di sebalik lipatan baju di dalam almari Yani, berbungkus kemas seutas jam tangan berwarna merah saga bertali cokelat. Yani tidak tergamak memakainya lagi sejak kejadian tersebut. Namun hatinya terbit rasa sayang untuk dibuang atau diberi jam itu kepada sesiapa. Ini kerana jam tangan tersebut adalah satu-satunya barang kenangan yang diterimanya daripada bekas rakan baiknya yang telah menemukan ajalnya di dalam bilik itu.

***** TAMAT *****


Comments