BUKAN TETAMU PILIHAN | Cerpen Tersiar

 


Cerpen ini telah memenangi hadiah Saguhati dalam Sayembara #LumbaCerpen kelolaan FB Page Arkib Angker Negara. Cerpen telah disiarkan pada 16 April, 2021 (klik SINI) dengan perkongsian melebihi 100 dan majoriti pembaca memberi komen positif. Poster tersebut telah direka oleh page yang sama. Kredit kepada Arkib Angker Negara atas pemilihan dan siaran cerpen.

***

Merah padam wajah Rafeah menahan marah. Terasa ngilu giginya diketap kuat, agar tiada makian dihamburkan pada lelaki itu. Dia masih tahu hukum-hakam sebagai isteri adalah berdosa meninggikan suara pada suami apatah lagi mengeluarkan kata-kata nista. Sukar membuang rasa menggelegak berlingkar di dada ekoran kedegilan suaminya, anak mereka pula menerima bahana.

“Banyak kali Peah ingatkan abang. Janganlah balik waktu senja. Hantu setan berkeliaran waktu begini.” Rafeah mundar-mandir keliling ruang tamu sambil mendukung anak bongsunya. Tubuh montelnya dihayun ke kiri ke kanan. Sesekali terdengar desir suaranya cuba memujuk si bongsu yang tidak reda tangisannya. Rumah berselerak dengan segala permainan sehinggalah perkakas dapur disua pada Ali berharapan tangis berkalih kepada bermain.

“Ali ni, nak tumbuh gigi agaknya, itu yang menangis tu,” tukas Jamil, enggan mengaku salah. Bau hamis peluhnya sesekali menerkam lubang hidung menambahkan kejengkelan sedia ada Rafeah.

“Kalau Ali menangis sebab itu, Peah yang tahu dulu. Sehari suntuk Peah dengan anak-anak takkan Peah tak perasan,” tingkah Rafeah. Suaranya mulai meninggi.

“Yalah, yalah, esok kita bawa Ali jumpa Ustaz Dinie tawarkan air. Abang nak mandi.” Jamil bingkas bangun namun Rafeah menghalang laluannya.

“Malam ni macam mana, bang? Ini dah tahap sawan tangis.”

“Awak bacalah apa-apa yang patut.”

“Saya uzur…”

“Kalau macam tu, awak suruh Amir bacakan Yassin. Malam ni pasang sajalah CD Ruqyah tu. Eh, dahlah abang nak mandi ni. Cepat siapkan makan malam abang. Lepas makan abang nak tidur, letih abang, awak nak kisahkah?”

Rafeah membungkam menuju ke bilik tiga anak lelakinya, masih mendukung Ali yang meronta-ronta. Kepada anak sulung itulah yang selalu diharapkan dalam hal-hal begini, dek telah masak perihal suaminya endah tak endah dengan kejadian yang sedang berlaku. Ustaz Dinie pun sudah terbiasa menerima kunjungan kerap pasangan suami isteri itu. Acapkali mengerling mulut Ustaz Dinie yang terkumat-kamit melafazkan kalimah suci Al Quran, akan timbullah kekesalan di sanubari Rafeah. Nasihatnya pada Jamil agar bertalaqi ilmu agama dan berjemaah di surau umpama mencurah air ke daun keladi. Seperti Jamil, Rafeah tidak bersekolah tinggi dan pengajian agamanya setakat tahu yang asas. Bagi mengisi kelompongan kejahilan itu, Amir dan Ahmad dihantar mengaji pondok. Besar harapan Rafeah, agar anak-anaknya menjadi anak soleh.

Seminggu selepas kejadian Ali terkena sawan tangis entah kali ke berapa, keluarga mereka dilanda musibah baharu. Ia bermula dengan kehilangan seketul blok yang melengkapkan permainan bina blok milik Ali. Rafeah selalu menemani Ali ketika bermain jika tiada kerja rumah yang harus dibereskan. Pasti permainan itu jarang disentuh Ali, Rafeah fikir mustahil ketul blok itu sukar dijumpai. Ketika Rafeah membalikkan tilam divan yang berkilo-kilo beratnya semasa mengemas, terbelalak matanya. Ketulan blok yang hilang itu betul-betul berada di kedudukan tengah antara kayu pengalas dan tilam itu. Ali yang belum sampai setahun itu letakkannya di situ? Mustahil!

Pada hari yang sama, Ahmad mengadu sebelah stokin hitamnya hilang. Amir pula berang kalkulatornya ghaib. Penggal persekolahan baharu akan bermula. Dua beradik ini beransur berkemas barang-barang yang akan dibawa ke madrasah. Sehari suntuk, anak beranak ini jenuh mencari. Aneh sekali stokin itu ditemukan dalam bakul pakaian kering walhal telah berulang kali isian kain itu dipunggah. Kalkulator pula ditemukan dalam bakul mainan Ali. Rafeah membebel pada Amir sebab barangnya bersepah, itu sebablah barangkali Ali menyangkanya ia sejenis permainan. Sumpah Amir bahawa Ali langsung tidak masuk ke bilik mereka pada hari itu membuatkan Rafeah terdiam serta-merta

Abu yang pendiam tiba-tiba menarik lengan Rafeah.

“Ada apa ni Abu?” soal Rafeah, terperasan wajah Abu pucat-lesi. Jari telunjuk Abu ditala ke muka pintu bilik utama. Mata Rafeah menurut. Kosong.

“Apanya Abu?” Rafeah berbisik sambil tangannya menggosok-gosok belakang anaknya yang baru darjah satu.

“Ada lelaki kat situ tadi, bu. Abu nampak kejap jer pastu dia hilang. Tinggi. Hitam. Muka dia garang,” jawab Abu tersekat-sekat.

Ahmad sudah mendekati segera memeluk Abu. Rafeah yang hampir pitam sempat disauk Amir.

 ***

Petang Jumaat selepas Asar, entah mengapa Rafeah rasa tidak sedap hati. Melihatkan Ali dan Abu yang lena manakala Amir dan Ahmad di padang bermain bola, Rafeah berhasrat mahu menonton sahaja televisyen. Dia terkejut apabila mendapati suaminya sudah berbaring di atas sofa. Setahunya,  tiada kedengaran sebarang bunyi pintu dibuka.

Rafeah membatalkan niat menonton tatkala mendengar dengkuran Jamil. Rafeah hanya menyedari dia terlena atas katil saat terasa bahunya digoncang berulang kali.

“Eh bang. Abang dah bangun?” Kelopak matanya dikesat-kesat.

“Baru bangun apanya Peah. Abang baru balik. Ni, abang nak beritahu, malam ni abang nak bertolak dengan Seman ke tasik itu lagi. Sedap pancing situ, banyak dapat ikan. Awak siap-siapkan bekalan makanan. Malam-malam payah juga berhenti cari gerai makan. Dapat kopi…”

“Jap, jap, bang. Abang cakap abang baru balik? Bukan tadi abang tidur di sofa?” Jantung Rafeah sudah berdegup kencang.

“Apa yang awak merepek ni, Peah? BIla masa abang tidur kalau abang baru sampai? Itulah… tidur lagi nak dekat senja. Kan dah menggigau yang bukan-bukan,” tempelak Jamil lalu menuju ke bilik air.

‘Ya Allah! Siapa yang aku nampak tadi?” Gumam halus Rafeah hanya dia yang mendengarinya. Amir yang kebetulan melintasi bilik ibu bapanya ternampak ibunya sedang mengurut-ngurut dada lantas menegur, “Kenapa ibu?”

Rafeah tidak menjawab sebaliknya bergegas mencari Ali. Lega hatinya melihat Ali sedang bermain dengan Abu manakala Ahmad leka menghadap telefon.

Lima beranak itu makan malam dalam suasana muram. Jamil enggan makan bersama dek tidak sabar-sabar hendak bertolak ke lubuk memancing. Itulah yang menjadi kelaziman dalam suasana di rumah itu. Ayah empat beradik itu bukannya mahu ambil tahu hal-ehwal anak-anaknya. Hujung minggu jarang ada di rumah kerana lebih suka melepak dengan rakan pancing. Habis waktu bekerja pula pulang ke rumah untuk mandi kemudian bersembang dengan rakan pancing di kedai kopi.

Rafeah tersentak dari tidur-tidur ayam gara-gara bunyi yang didengar dari bilik stor bersebelahan dengan bilik tidurnya. Stor kecil itu lebih banyak menempatkan peralatan memancing suaminya berbanding simpanan perkakasan rumah yang jarang digunakan.

Rafeah mengamati bunyi itu. Ia tidak ubah seperti bunyi tabung yang sedang digoncang-goncang. Gemerincing isian syiling berlaga. Rafeah amat pasti bunyi itu datang dari salah satu daripada empat tabung yang diletakkan di situ.

Bunyi syiling berlaga dalam tabung masih berlarutan tatkala Rafeah memberanikan diri merapatkan telinganya ke daun pintu. Pintu bilik itu sentiasa berkunci. Jamil tidak mahu sesiapa menyentuh peralatan memancingnya. Rafeah bersetuju dengan tindakan Jamil memandangkan Ali kian lasak.

Rafeah berjingkit menuju ke bilik tiga beradik itu. Hanya berpandukan lampu dapur yang biasanya dipasang pada waktu malam, bahu Amir disentuh perlahan-lahan. Saat Amir membuka matanya, cepat-cepat Rafeah memberi isyarat supaya tidak bersuara langsung. Hanya dibisikkan pada telinga Amir supaya mengikut dia.

Tingkah laku Amir menyerupai Rafeah. Sejenak kemudian dia mengangguk. Rafeah lega terbukti dia tidak berkhayal atau bermimpi. Amir segera mengejutkan Ahmad dan Abu sementara Rafeah mendapatkan Ali. Bunyi gemerincing itu masih berlarutan. Mujurlah Abu dan Ahmad yang masih terbuai dengan kantuk tidak perasan bunyi itu menyambung tidur di ruang tamu. Amir segera memasang cakera padat Ayat Ruqyah sementara Rafeah mendail pada telefon bimbitnya.

Sejurus bergema alunan bacaan surah Al-Baqarah, bunyi itu mendadak berhenti. Selang beberapa minit sahaja, dua orang polis tidak berpakaian seragam terpacak di hadapan pintu rumah. Rafeah mempersilakan mereka masuk lantas mengiringi seorang polis ke bilik stor sementara seorang lagi terhendap-hendap di luar pangsapuri itu. Rafeah tidak mahu membuka pintu bilik stor itu memikirkan ada kemungkinan bilik itu dipecah masuk dari luar.

“Tiada apa ni, Puan. Tak ada sesiapa,” kata polis itu. Rafeah turut mengitar pandangan keliling bilik stor namun tidak berani menjejakkan kakinya ke dalam.

“Tapi tuan, saya memang dengar bunyi dari bilik ini. Salah satu tabung di situ digoncang-goncang. Kalau Tuan tak percaya, boleh tanya anak saya ni,” protes Rafeah lalu menarik lengan Amir yang sedari tadi ada di belakangnya. Kedua-dua polis itu memandang sesama sendiri.

“Beginilah puan. Kami percaya bunyi itu wujud. Tindakan puan menghubungi polis itu bagus sebagai langkah berhati-hati. Puan teruskan sahaja pasang ayat-ayat Al Quran itu, pohon doa pada tuhan dilindungi sekeluarga.”

Sepeninggalan kedua-dua polis itu, Rafeah tidak berkutik dan serasa hampir mereng. Menjelang petang, entah mengapa Rafeah rasa sesak nafas akibat dirasakan rumahnya lebih berkuwap daripada biasa. Selesai kerja-kerja rumah, dia menyertai anak-anaknya di ruang tamu. Ali yang sedang bermain sambil menonton dengan abang-abangnya tiba-tiba menjerit. Ahmad cepat-cepat memujuk Ali. Abu sudah pucat-lesi dan matanya buntang ke arah bilik tidur mereka. Rafeah bingkas bangun dan langkahnya panjang ke dapur. Sebotol balang kaca berisi garam bukit dan lada hitam dicapai dari rak atas. Tangkas melangkah ke bilik tiga beradik beriringan dengan Amir. Campuran itu adalah pemberian Ustaz Dinie. Abu mulai menangis. Ali yang sudah terjerit-jerit sedaya-upaya dipujuk Ahmad yang tampak gelisah.

“Amir, pergi azan sekarang tiap-tiap penjuru,” arah Rafeah yang bercekak pinggang dalam bilik tiga beradik. Nafasnya kuat kedengaran. Dadanya berombak-ombak. Matanya melingas ke sana ke mari.

“Cepat!” Jerkah Rafeah pada Amir yang langsung tidak menapak ke dalam biliknya. Bulu roma di tengkuk Amir merinding. Ibunya kelihatan seperti orang asing sehingga dia teragak-agak menurut segera.

“Ibu nak buat apa?”

Rafeah tidak menjawab sebaliknya ditaburkan campuran garam dan lada hitam ke tapak tangan kemudian dihamburkan ke dinding bilik. “Keluar! Keluar! Jangan kacau keluarga aku!”

Amir lalu bergegas ke penjuru bilik utama dan terus melaungkan azan sekuat hati.

“Keluar korang semua! Berambus! Ini rumah aku. Jangan kacau anak-anak aku!” Rafeah semacam kerasukan. Kelantangan suaranya menggetarkan anak-anaknya. Entah bagaimana Rafeah seolah-olah melihat begitu banyak makhluk-makhluk aneh bergayutan. Ada juga yang menyorok di bawah meja dan di bawah katil. Hanya Rafeah yang boleh mendengar jeritan yang ngeri bila ada yang terkena bahan jampi Ustaz Dinie itu. Serakan garam dan lada hitam terus membuatkan bilik itu mula berbau tengik. Rafeah tak terdaya menekup telinga walau perit mendengar pekik dan hilai. Tenaganya mulai merosot, digagahkan terus-menerus membaca ayat Qursi. Berselang dengan makian pada saki-baki makhluk-makhluk yang enggan pergi dari situ.

Amir masih mengulang-ulang azannya dengan berubah-ubah kedudukan. Mujurlah tangisan Ali dan Abu kian reda. Mereka lebih terkejut mendengar tempikan ibu mereka dan laungan azan si abang sulung yang lebih kuat daripada biasa ketika solat.

“Pergi! Jangan datang lagi sini! Pergi!”

Rafeah termengah-mengah. Amir sudah melengkapkan satu pusingan penjuru-penjuru rumah diazankan. Keletihan yang melampau membuatkan Rafeah merasakan dirinya seperti kertas yang melayang. Matanya mulai kabur ketika diperhatikan keliling bilik. Rafeah tersenyum puas sebelum pandangan matanya tiba-tiba menjadi gelap-gelita.

 ***

“Kakak, kakak nurse, ibu saya dah sedar.”

Rafeah mengedipkan matanya berulang kali sambil cuping telinganya menangkap suara itu. Dia menoleh ke arah suara itu seraya terasa jemarinya digenggam.

 Seorang jururawat menghampiri dengan senyuman manis. Rafeah membiarkan sahaja jururawat tersebut menjalankan tugasnya sambil merenung lemah pada Amir dan Ahmad yang tegak di bucu katil.

Baru sahaja Rafeah hendak membuka mulut bertanyakan perihal dua orang lagi anaknya, matanya tertangkap sosok yang mendekati katilnya. Tidak kelihatan Abu dan Ali bersama Jamil yang sedang menjinjit beg plastik berisi makanan. Sebaliknya, sesuatu yang muncul dari belakang Jamil adalah…

“Argh!!! Pergi! Pergi! Jangan kacau aku! Pergi! Jangan kacau anak aku!”

Satu makhluk bersesungut dan berwarna hitam legam dilihat Rafeah bertenggek di bahu Jamil. Air liurnya berjelejehan dengan bau teramat busuk. Giginya tajam menyeringai.

Beg plastik makanan yang dijinjit Jamil terlepas. Amir dan Ahmad lekas menerpa dan menyeru nama ibu mereka bertalu-talu. Jururawat tersebut segera beredar untuk memanggil doktor dan jururawat lain selepas berpesan untuk menenangkan Rafeah. Rafeah terpaksa dipengsankan dengan ubat bius kerana histerianya menggerunkan para penghuni wad itu.

 

***

Berulang kali Jamil membaca mesej WhatsApp tersebut yang berbunyi:

“Abang, Peah dah tak sanggup balik ke rumah itu lagi. Peah tertekan. Abang bukan pedulikan kami pun selama ini. Sampai benda lain datang kacau keluarga kita pun abang tak endah. Peah nak abang lepaskan Peah…”

Mesej itu panjang lagi isinya tapi apa yang Jamil berulang baca ialah perenggan pertama. Puas Jamil memujuk bekas isterinya itu melalui perbualan telefon. Rafeah enggan bersemuka kerana ketika di hospital, Rafeah mengelak. Malah memandangnya pun tidak mahu.  Dua anaknya yang kecil mengikut Rafeah pulang ke kampung.

Jamil membuang pandangan ke tasik tempat dia selalu memancing dengan kawan-kawannya. Cuma, lewat petang itu dia berseorangan.

“Abang Jamil….”

Sayup-sayup Jamil terdengar suara Rafeah. Nun di permukaan tasik, Jamil ternampak Rafeah melambai-lambai padanya. Rafeah nampak sebegitu jelita terapung-apung di atas tasik yang tenang.

“Peah, abang rindu Peah. Abang datang sana. Tunggu Peah, tunggu…” Jamil melolong hiba.

Jeritan Jamil bergaung bersama deburan air tatkala dia terjun ke dasarnya yang dalam. Jamil terlupa berenang bukan kemahirannya.

 

***TAMAT***

Comments