TERAPI BLOG | Cerpen Tersiar

 


Cerpen ini telah disiarkan di halaman Sastera akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 20 September, 2020

Adli mengangkat muka sebaik sahaja terdengar deru enjin kereta memarkir dalam perkarangan rumah teres dua tingkat itu. Salam dijawab membalas senyuman isterinya, Adila yang sudah melabuhkan duduk di sofa. “Lambat balik?” Keningnya dijungkit bersisa senyuman yang berubah sinis.

            “Maaf sayang. Mana yang berkenan, harga tidak menepati bajet. Baju mampu milik, ada sahaja cela. Beli juga sehelai, sebelum Dila berputih mata.” Adila mengipas-ngipas tubuhnya dengan senaskah majalah yang baru dicapai.

            Adli mengangguk. Tumpuannya kembali pada paparan skrin laptop. “Pergilah mandi. Lauk bawah tudung saji itu panaskan.”

            “Sayang…anak-anak…”

            “Anak-anak sudah makan. Lama dah lena.”

            Lewat malam ketika seisi rumah nyenyak diulit mimpi, Adila menghidupkan laptop. ‘Aha! Ada lagi sambungan novela daripada blogger Madam Mummy,’ detiknya. Usai membaca entri mutakhir daripada blog ‘Simply Mummy of 6’, acara jamuan minum petang untuk sekumpulan blogger lagi dua hari cuba dibayangkan hingga terlena.

            Petang Ahad yang dingin selepas hujan.

            Empat beranak itu sudah berada dalam hotel bertaraf empat bintang. Adila merasakan kepayahan bernafas dengan tenang. Pantulan imejnya dari permukaan dinding dalam lif kusyuk ditenung. Adli menaikkan ibu jari kanannya pada Adila. Memerah wajah Adila.

            Lima meja diatur membentuk satu barisan panjang di salah satu sudut kafe itu. Atas inisiatif blogger Madam_Mummy bersama rakan-rakannya, di situlah tempat pertemuan antara blogger diadakan julung-julung kalinya.

            Hingar bingar bertukar sunyi tatkala Adila menghampiri. Salam bersambut disusuli pengenalan diri. Getar Adila memuncak hingga mengalami kesukaran mengingati nama mereka.

            “Eh, suami dengan anak-anaknya itu? Marilah duduk sini,” ajak seorang wanita warga emas bertudung putih. Adila serba salah. Hanya dia yang mengheret keluarganya ke majlis itu. “Kita boleh tambah sahaja meja dan kerusi,” ujar wanita bersebelahan wanita bertudung putih pula.

            Adila berbalas pandangan dengan Adli yang sedang mendukung anak bongsu dan memimpin tangan anak sulung mereka. Satu senyuman disusuli kenyitan dilemparkan pada isterinya. Adila memahami mesej yang cuba disampaikan Adli. “Oh, suami segan. Dia hendak bawa anak duduk di meja sebelah sementara saya di sini.”

            “Bagusnya suami awak mahu jaga anak-anak. Kami semua, anak-anak sudah besar panjang,” sahut wanita memakai cermin mata paling bergaya. Adila tersenyum nipis. Dia memutuskan untuk memerhati sahaja buat seketika kerana rasa gugupnya masih menebal.

            Seorang wanita berambut pendek bangkit lalu duduk di sebelah Adila lantas mencuit bahunya. “Madam Mummy?” Adila meneka masih tidak lekang dengan senyuman.

            Wanita itu mengangguk dan membalas senyuman Adila. “Iya. Adila ni, yang blog ‘Daily’s Delicacies’ dan guna nama blogger Deli, kan?”

            Hati Adila berbunga-bunga. “Ha! Sayalah tu.”

            “Sukanya Mummy ketemu Deli akhirnya. Maaf, sekali sekala saja Mummy tinggalkan komen dalam blog Deli. Tapi, setiap hari Mummy baca blog Deli, tau.”

            Bunga-bunga dalam hati Adila makin mekar setelah mendengar pengakuan blogger yang diminatinya itu. “Oh, Mummy, panggil saya Dila sahaja. Saya peminat blog Mummy. Banyak tip bagus. Paling saya suka kisah Syafiqa. Watak Syafiqa kuat impaknya sehingga turut dirasai penderitaannya.”

            “Terima kasih Dila suka kisah Syafiqa tu. Dila boleh panggil Mummy, Mak Da. Rasanya, Dila hampir sebaya anak sulung Mak Da. Hujung tahun ni, insyaAllah, menikahlah dengan pilihan hatinya. Mak Da berharap cepat-cepat boleh timang cucu,” Mak Da berseloroh dan renungannya terarah pada anak-anak Adila. Adila turut memandang anak-anaknya yang sayup-sayup terdengar celoteh mereka dalam riun rendah suasana. Suaminyi mengangkat muka seakan tahu diperhatikan dan melemparkan secebis senyuman kepada mereka berdua yang masih ralit memerhati.

            Adila tersengih. “Mak Da, Dila mahu cadangkan sesuatu. Boleh?”

            Dahi Mak Da bergaris, “Mahu cadangkan apa itu, Dila?”          

            Adila tersenyum manis menyambung ayatnya. “Apa kata Mak Da cuba hantar kisah Syafiqa itu pada penerbit? Sekarang ini pun sudah ramai pembaca sebab mereka peminat Mak Da. Dila yakin laris apabila ia dijadikan novela bercetak.”

            Mak Da terdiam sejenak dan melemparkan pandangan kosong sekitar ruang kafe. Saat dia menoleh pada Adila, satu senyuman nipis terukir. “Dila sudah memesan? Kawan-kawan kita nak cuba bermacam makanan. Ha! Jangan ragu-ragu, hari ini kita makan puas-puas.”

            Adila mencapai menu, tertanya-tanya mengapa Mak Da tidak memberi sebarang respon pada usulannya itu. Juadah beransur dihidang. Sepuluh blogger yang saling berhubung di alam maya kini berpeluang mengukuhkan silaturrahim. Dapatlah disingkap sisi lain seorang blogger. Bunyi sudu dan garfu berlaga berselang-seli dengan hilaian ketawa dan rancaknya mereka bersembang.

            “Seronok?” Adli menyoal Adila ketika menghidupkan enjin kereta. Adila tersengih dan melirik pada Adli, kemudian menoleh ke belakang. Anak-anak yang kepenatan sudah lena dalam kerusi keselamatan.

            “Seronok, sayang. Mak Da sama ramah dalam blognya.”

            “Sampai ada terasa enggan pulang?” Adli berseloroh. Keseronokan yang masih bersarang usai majlis itu membuatkan tambah lebar sengihan Adila.

          Sebulan pasca majlis pertemuan blogger itu, novela Syafiqa di blog ‘Simply Mummy of 6’ tamat kisahnya. Sedih dan rindu bergaul yang dirasai seakan tidak masuk akal hanya atas sebab kisah Syafiqa sudah berakhir. Mak Da juga kian jarang mengemaskini blognya.

            Penghujung tahun merupakan fasa yang sibuk buat Adila dengan tugasan di pejabat. Saban hari dia lewat pulang. Suaminya yang banyak menguruskan anak-anak mereka kerana masanya lebih fleksibel atas sebab bekerja sendiri. Perluangan kegiatan blogging menjadi terhad. Sedangkan untuk mengemaskini blog sendiri tidak sempat apatah lagi hendak blog-walking rakan blogger lain.

            Pada satu petang Sabtu yang mendung.

            Adila tidak mengendahkan sebarang tugasan pejabat yang sepatutnya dibereskan. Sebaik sahaja laptop dihidupkan, dia terus daftar masuk blog milikannya. Selepas blognya dikemaskini, blog Mak Da terus diterjah.

            Adila menekup mulut sejurus teks pada skrin dibaca. Dia mengelus-ngelus kecil dan menggeleng. Gelagat Adila diperhatikan Adli yang sedang melayan anak-anak bermain.

Adli menghampiri Adila lalu mengusap rambutnya. Mata isterinya yang berkaca-kaca ditenung dalam-dalam. “Kenapa Dila? Ada sesuatu yang tidak baik berlakukah hingga menangis ni?”

            Adila mengesat matanya. “Mak Da, sayang. Cuba sayang baca hantaran terkini blog Mak Da.”

            Adli menurut. Jeda. “Kita sama-sama mendoakan Mak Da tabah dan cekal mengharunginya,” sarannya sejenak dalam helaan nafas.

            Adila mengangguk perlahan. “Cuma, Dila terfikir jika ia satu kebetulan, tapi, serasa mustahil.  Tiga dekad usia perkahwinan Mak Da berakhir dengan perpisahan. Selama mengikuti blog Mak Da, sekali pun Dila tidak pernah membaca hantaran Mak Da bernada berkeluh kesah. Berita penceraian Mak Da ini sukar diterima.”

            “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Eh? Sayang rasa macam kurang sesuai pula guna perumpamaan itu. Pasti bukan Dila sahaja terkejut. Sayang yakin blogger lain pun terkesima sesudah membaca perkhabaran Mak Da.”

            “Tapi, cerita Syafiqa mengisahkan derita seorang isteri bertabah menghadap kecurangan suaminya berdekad-dekad lamanya. Bekas suami Mak Da pun baru bernikah dengan perempuan yang selayaknya dipanggil anak. Entah mengapa, Dila terfikir kisah itu kisah Mak Da sebenarnya…”

            “Dila…tidak usahlah serkap jarang. Kita bersangka baik. Empunya diri yang mengetahui kebenarannya.” Adli menasihati.  

            Adila masih termangu-mangu. Kesyukuran dipanjatkan atas kurniaan seorang suami yang penyayang dan sentiasa menjadi tulang belakangnya. Apatah lagi sabar melayan kerenahnya yang beraneka ragam. Kisah Syafiqa dan perkongsian perkhabaran Mak Da masih berlegar dalam fikiran. Terbit rasa keinsafan.

 

*** TAMAT ***


Comments