PADAH AMBIL BERAT | Cerpen Tersiar

 


Cerpen ini telah disiarkan di ruangan Sastera akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 1 September 2018

“Betul kata awak…awak, telah tekan punat yang tepat… menusuk hati saya,” lirih dan hiba suara lelaki yang kedengaran di corong telinga. “Tak mengapalah… Wa,” sambungnya. Salwa membuka mulut mahu meningkah tuduhan lelaki itu. Bunyi klik disusuli nada panjang di penghujung petanda panggilan telefon telah ditamatkan. Dia tidak berpeluang membela dirinya.

            Salwa mengeluh panjang. Dia menghempas badan ke katil lalu sebahagian kertas yang bertaburan teralih. Kemudian, dia bangkit dan bersandar pada kepala katil. Helaian kertas kajang yang sudah renyuk dipungut, diramas-ramas membentuk bola sebelum dicampak ke dalam tong sampah di tepi meja studi. Ada yang berjaya masuk, ada yang terkeluar. Tiada keperluan menyimpan surat itu sesudah membacanya sekali. Apa lagi yang harus dikatakan jika perasaannya tidak selari seperti apa yang difikirkan lelaki itu? Sekelumit pun tiada niat menyindir. Namun, ungkapan Salwa untuk mematikan persoalan hati itu juga yang menjadi pokok untuk lelaki itu berasa hati. Begitu sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia hanya bertepuk sebelah tangan.

            Telefon yang baru diletakkan itu ditenung.  Hampa dengan sikap dingin kawan baiknya. Sejak dua hari, Salwa tidak pasti jumlah pesanan pada adik kawan baiknya untuk menghubunginya semula. Apa yang pasti ia bukan panggilan yang sedikit. Sebaliknya,  satu panggilan balasan pun tidak diterimanya.

            Salwa capai jaket dan kunci motor. Ibunya bertanya hendak ke mana sewaktu berselisih di tangga. Dia memberitahu tidak akan keluar lama, hanya ke rumah kawan baiknya itu. Abangnya berbalas anggukan dan mengangkat tangan sewaktu Salwa mencapai topi keledar dan menggoncangkan kunci motor. Motor yang dibeli oleh bapa mereka disuruh berkongsi penggunaannya.

            Pagi hujung minggu jalan agak lengang jadi pemanduan Salwa hanya memakan masa setengah jam. Loceng pagar rumah ditekan dua kali. Adik bongsu Jani menjenguk di balik langsir pintu kaca sebelum berteriak, “Kak Jani, Kak Wa datang.”

            Pintu pagar dibuka dari dalam secara automatik. Salwa menapak masuk dengan mengepit topi keledar di bawah ketiak. Jani keluar dengan muka masam seraya menjawab salam membuatkan Salwa terkedu. Serasa sukar memulakan bicara.

            “Awak nak apa? Saya sedang tolong mak saya siang ikan. Maaflah tak jemput awak masuk.” Jani tampak comot. Peluh di dahi diseka dengan lengan baju yang sudah disinsing hingga paras siku. Tubuh montel Jani juga lencun dengan keringatnya sendiri.

            “Jan, kenapa tak telefon saya semula? Saya telefon pun awak ada saja hal. Awak mengelak dari saya, kenapa?”

            “Tak ada apalah. Saya terlupa nak telefon. Dua hari ni saya sibuk. Ada hal pentingkah sampai sanggup datang sini pagi-pagi?”

            “Awak marah saya? Sebab Zubir?” Bulat mata Salwa merenung Jani.

            Jani mendengus kasar. “Salwa, saya dah beritahu tempoh hari. Awak degil, tak nak dengar.”

            “Awak salahkan saya? Kan saya cakap, saya nak berkenalan dengan siapa lelaki yang kawan baik saya ni kagum. Saya ajak awak ikut sekali, awak enggan. Awak patut ikut sebab awak pun tak pernah jumpa dia.” Salwa memeluk tubuh. Matanya dicerlung pada Jani. Gurisan pada hati memanglah tiada siapa yang nampak tetapi nada suaranya masih dilembutkan.

            “Awak dah tiga kali keluar dengan dia, Wa. Awak layan dia bersungguh, macam mana dia tak jatuh hati dengan awak.”

            “Keluar dua kali atas sebab tunai janji. Sekali lagi tu dia yang beriya-iya nak menjemput walau saya menolak dengan baik. Habis waktu kerja, saya nampak dia tercongok depan keretanya di kawasan parkir bangunan pejabat saya. Macam mana saya nak mengelak?”

            Jani mengeluh dan bibirnya yang kusam digigit-gigit.

            “Saya hanya menjadi diri saya, Jan. Sebab kenangkan dia kawan awak, jadi sepanjang masa saya hanya bersopan santun dengannya. Sedikit pun saya tak beri petanda pada dia untuk membenarkan diri hanyut melayan perasaan. Saya anggap dia juga seorang kawan.”

            “Sebab awak jadi diri awaklah, dia terpikat dengan awak, Wa. Cuba awak buat bersahaja, ala-ala profesional, mesti dia berfikir-fikir nak luahkan perasaannya pada awak.”

            Salwa melopong. Kali ini ayat yang diutarakan Jani sudah menikam sanubarinya. Jani adalah orang terakhir yang dijangka akan melontarkan pandangan sebegitu sadis perihal dirinya.  “Sampai hati awak cakap macam tu pada saya.  Selama ini, nama Zubir sahaja awak dok sebut. Asyik-asyik bercerita dialog debat kamu berdua. Awak berpihak pada Zubir sedangkan awak kenal dia tak sampai setahun. Kita pula rapat sejak tingkatan empat. Lima tahun Jani awak jadi sahabat baik saya. Tapi sebab kecil ni, awak nekad bermasam muka dengan saya?”

            “Wa, saya dah beritahu kan, dia memang sedang mencari jodoh. Saya suruh awak hati-hati. Tapi, awak dah lukakan hati dia pula.” Jani mengeraskan suaranya.

            Salwa bergeleng berulang kali. Pasti Zubir sudah bercerita pada Jani tentang surat lamaran cinta yang diberi sewaktu Zubir menghantarnya balik dari kerja.  Entah apa lagi yang Zubir putar-belitkan cerita yang disampaikan pada Jani, hanya tuhan sahaja tahu. Jani bukan seperti yang dikenalinya, mengeluarkan tohmahan sedemikian.

            Salwa tidak mahu meneruskan dialog itu. Jelas Jani kekal dengan pendiriannya yang tetap menyalahkan Salwa. Terkilan dengan sikap Jani, dia pulang membawa seribu satu persoalan bersama hati yang sudah remuk.

            “Dia suka pada laki itulah, sebab tu dia bengang. Boleh pula laki tu jatuh hati pada kau,” tempelak rakan sekerja, Muna bila disampaikan kisah perselisihan faham Salwa dengan Jani. Salwa menggigit-gigit keropok lekor tidak bernafsu sementara Muna berselera mencicah keropok dalam sosnya. Sambung Muna lagi, “Lagi satu, kau kan cantik, Wa. Satu tamparan pada kawan baik kau tu. Itu sebab dia tak nak ikut. Pendapat akulah, kewujudannya tetap tenggelam bila kau pun ada sama. Mesti lelaki tu tenung kau saja.”

            Salwa tidak bersetuju dengan kenyataan Muna tetapi dibatalkan sahaja niatnya untuk membalas. Satu jelingan diberi tetapi Muna tidak perasan. Terimbas di benak bagaimana bermulanya kisah Zubir dan Jani. Zubir merupakan kenalan Jani di Friendster pada tahun terakhir pengajian Jani. Sembang-sembang hal ehwal semasa pada asalnya membawa kepada bertukar nombor telefon sesama mereka. Zubir rajin menelefon Jani ketika cuti semester. Sementara menunggu keputusan pengajian semester terakhir Diploma, Salwa bekerja sambilan memasukkan data untuk pengkalan data pelanggan di sebuah firma guaman di ibu kota. Jani pula sedang mempertimbangkan beberapa kursus kemahiran jangka pendek yang ditemui.

            Zubir tidak lagi menghubungi Salwa.  Apa yang Salwa ralat ialah Jani terus menyepi. Kemasukan Jani dalam satu kursus kemahiran adalah sekadar satu alasan seolah-olah dirinya terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk sahabat baiknya. Salwa juga berhenti menghubunginya. Dia berputus asa. Kalau orang tidak sudi, takkanlah kita ni ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Barangkali Salwa sudah menjadi mantan sahabat baik Jani.

            Kali terakhir Salwa mendengar perkhabaran Jani melalui teman-teman sekolah yang masih berhubung dengannya. Jani menyambung pengajian dalam bidang perakaunan ke peringkat ijazah pula. Salwa juga menyambung pengajiannya dalam bidang pengurusan perniagaan. Persahabatan Salwa dan Jani terputus begitu sahaja. Sungguhpun sedih, Salwa pasrah. Semuanya kerana seorang lelaki.     

 

*** TAMAT ***


Comments