Abah tidak boleh hidup tanpa Mak.
.
Masih segar perbualan telefon terakhir antara Mak dengan saya. Mak nyatakan kerisauan keadaan Abah yang telah disahkan mengidap barah peparu ekoran kesan berpanjangan menjadi perokok tegar. Ayat Mak, “Siapa nak jaga Abah bila Mak tiada?”
Saya tidak dapat segera menjawab kerana serta-merta sebak. Sememangnya ia tidak terjawab kerana saya tahu kasih isteri tidak akan sama dengan kasih anak-anak.
.
Benar kata Mak. Selepas 8 bulan Mak berhijrah ke negeri abadi, Abah menyusul. Di hari pengebumian Mak, Abah tersedu-sedan kerana menurut Abah, rasa ralat sebab sudah tidak dapat berkhidmat untuk Mak. Kami saksikan sendiri Abah yang selama ini tak betah bekerja di dapur (tapi ke pasar beli barang dapur Abah tip-top) masakkan bubur nasi untuk mak, bancuhkan air untuk mak sejak mak jatuh
. sakit barah payudara tahap 3.
.
Abah jatuh monyok. Enggan makan, walau kakak yang menjaganya cuba sedaya upaya masak lauk-pauk kegemaran Abah ikut cara Mak. Jenuh dipujuk.
.
Abah yang suka berborak bertukar jadi pendiam. Saya cukup manja dengan Abah. Sampai sudah jadi Ibu pun, Abah masih melayan saya macam budak kecil. Ikut suka saja mengajak saya mengeteh atau pergi kedai. Kira dating-lah. Sampai #triplehboys protes sebab depa tak dapat ikut.
.
Dari zaman kami duduk Melawati sampailah mak abah pindah Seremban, Abah tetap suka ajak saya pekena roti canai dengan teh tarik. Abah kalau berborak dengan anak-anak, orang sangkakan mat salleh celup mana pula mari ni? Ya, abah memang gitu. Mak saja yang pekat dialek Nismilan tak tinggal.
.
Kuasa wanita ke atas lelaki sebegitu kuat, ya? Tidak kiralah hari ini Hari Wanita Antarabangsa atau tidak, buat kami wanita, hari-hari kami sambut hari wanita sebab kerenah kami bervariasi dan mewarna-warnikan hidup seorang lelaki. Kami pun pening dengan diri kami yang memacam ni.
.
Al-Fatihah buat Abah dan Mak saya, pasangan tak romantis tapi, kasih mereka yang tidak terzahirkan secara terbuka itu akhirnya menjadi memori manis buat anak-anak mereka.
P/S – Trivia gambar: Suasana Hari Raya di rumah lama kami di Setapak. Sempat 3 tahun kut saya membesar di sana.
Comments
Post a Comment