Mama! Papa! Saya Suka Membaca!

 


Garis Panduan Dorong Anak Berusia Tatih Gemar Membaca
(Anggaran Usia 12 bulan ke 36 bulan)

1. Bermula usia tatih, kanak-kanak mulai memahami cerita yang dibacakan kepadanya. Teruskan bekalan buku-buku dengan bahasa beritma, pengulangan kata, plot yang ringkas dan penekanan kisah moral untuk membina sifat baik. Kanak-kanak sukakan perkara yang boleh dijangka dan apabila tekaannya tepat tentang episod cerita, ini mendorong pembabitan aktif dan daya intelektual.

2. Sering juga terdengar keluhan daripada ibu bapa bila anak-anak dimintakan baca buku yang sama setiap kali sesi. Anak mulai membentuk identiti diri apabila sudah ada buku kegemaran, cerita kegemaran dan sebagainya. Bertabahlah. Mungkin anda boleh ubah gaya penyampaian cerita yang sama.

3. Pilih buku yang ada pengulangan frasa dan ritma seperti pantun dan poem. Ulangan bacaan mengukuhkan daya ingatan. Uji ingatannya dengan berhenti membaca pada ayat tertentu, kemudian minta anak menyebut sambungannya.

4. Anak-anak suka mengajuk gaya ibu bapanya membaca. Sekali sekala, suakan buku yang kerap dibaca, minta anak bacakan pada anda. Bertukar main peranan ini sekaligus menaikkan keyakinan anak-anak.

5. Buang jangkaan bahawa anak anda membentuk kemahiran membacanya apabila anda konsisten dengan rutin ‘read-aloud’ ini. Sebaliknya, fahami bahawa proses membaca itu memerlukan kemahiran koordinasi tangan dan mata, tumpuan akal, dan juga pertuturan. Jika dipaksa dengan pengenalan kaedah membaca sistematik terlalu awal, kemungkinan anak akan merasakan perbuatan membaca itu sukar dan membosankan. Jadikan momen membaca itu sesuatu yang seronok.

6. Beri peluang pada anak untuk pembabitan sepenuhnya ketika sesi membaca. Antaranya menyelak halaman buku, bertanyakan soalan dan benarkan anak untuk menunjuk dengan jarinya ke barisan ayat. Anak akan beransur menguasai kemahiran membaca secara berperingkat.

7. Apabila anda yakin anak sudah bersedia, bawa anak ke kedai buku dan beri peluang untuknya memilih bukunya sendiri. Ini boleh dilakukan menerusi pembelian dalam talian. Ada kemungkinan anda tidak berkenan dengan pilihan bukunya tapi berfikiran terbukalah kerana ini adalah satu proses anda memahami anak anda membentuk karakternya yang tersendiri.


Comments