Inilah kamera yang Abah gunakan untuk mengorat Mak.
Dedulu siapa ada kamera sebegini, dia ‘have-have’ gitu. Walhal, orang tak tahu Abah sanggup ikat perut untuk cukupkan ongkosnya membeli kamera idaman.
.
Apabila diasak soal jodoh, Abah yang tiada masa untuk fikirkan perkara itu dek sibuk bekerja, serahkan pada orang tuanya dicarikan calon isteri. Abah bersetuju sahaja bila dicadangkan calonnya adalah seorang gadis yang katanya ada pertalian bau-bau bacang dengan keluarga Abah.
.
Hari merisik si gadis pun tiba. Rombongan merisik tidak ke rumah si gadis tetapi ke rumah bapa saudaranya sebab mereka dimaklumkan ayah si gadis tiada kerana berada di negeri lain atas sebab bertugas sebagai polis.
.
Abah yang tertanya-tanya dan bergelora mahu melihat wajah si gadis sengaja ke rumahnya senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga. Harapannya, nampak kelibat si gadis pun jadilah.
.
Kebetulan pula waktu itu, si gadis yakni Mak sayalah sedang menyapu halaman. Dedulu, rumah-rumah mana ada pagar keliling. Rumah kampung kami lamannya luas dan berhampiran hutan berbukit-bukit.
.
Abah terhendap-hendap di balik belukar, cuba merakam foto si gadis yang tekun menyapu. Mak memang tak perasan pada mulanya kehadiran Abah jadi dapatlah Abah membidik kameranya walau kurang jelas. Agaknya, gerak hati Mak serasa ada seseorang memerhatikannya, lantas berpaling dan teruslah Abah kantoi di situ. Abah pandai cover line. Cepat-cepat dihala kamera itu ke atas, ke sana, ke mari.
.
Seketika, Mak tenung Abah tapi saat Mak terperasan apa yang berada dalam genggaman Abah, cepat-cepat Mak berpusing, mahu masuk ke dalam rumah. Cuak juga.
.
Tak sempat sebab sayup-sayup terdengar suara seseorang memanggil Mak.
“Akak, akak…”
Mak berhenti melangkah dan berpusing. “Ekau sapo? Nak apo?”
“Err…err… “ (Yang berada di hadapan Mak masa ini sebenarnya adik Abah, Achek Apar, arwah Achek gagap sedikit orangnya tetapi kelakar dan periang)
“Eh, copeklah cakap. Ekau ni sapo? Nak apo?” (Mak memang garang)
“Ese… ese ni nak sampaikan aaa… sampaikan salam oghang kek akak.”
“Sapo?”
“Abang… abang ese kirim salam. Tu dio…” Achek Apar memuncung ke arah Abah yang berdiri di situ. Abah lambaikan tangan pada Mak. Mak tarik muka.
“Harummphh…” Mak tak cakap apa-apa tapi bergegas naik ke rumah. Achek Apar terkekek-kekek bila Mak menjeling tajam.
.
Mak mengikut Abah ke Kuala Lumpur selepas rasmi bergelar isteri dan kawasan pertama mereka menetap di Kampung Baru. Kami berenam dilahirkan di sini, abang sulung sahaja disambut kelahirannya oleh seorang bidan di kampung.
.
Menurut Abah, mak nampak cantik di matanya, kali pertama bersua. Mak memprotes, katanya berpeluh-peluh dan selekeh pun cantik?
Salah seorang anak mengusik, “Dah suka Mak. Jatuh angaulah.”
.
Setiap kali saya melihat kamera ini, saya tersenyum. Penyimpan rasmi kamera ini pasti teringat tanda mata kasih dan sayang Mak dan Abah.
Comments
Post a Comment