Garis panduan memulakan sesi bacaan bersama bayi
(Panduan ini sesuai untuk bayi berumur anggaran kurang 1 bulan ke 18 bulan)
.
1. Keupayaan melihat secara bertumpu oleh bayi baru lahir berjarak sekitar 25 ke 30cm. Oleh itu, disarankan buku yang sesuai adalah diperbuat daripada kain dengan ilustrasi ringkas, warna terang yang tidak terlalu banyak terutama warna primer. Tiada teks atau teks yang terhad sangat digalakkan. Bentuk geometri, corak dan wajah sesuai untuk stimulasi visual bayi.
2. Setelah bayi berupaya menggenggam, cuba dapatkan buku berbentuk blok kecil, saiz sesuai dengan jemarinya yang halus dan pastikan material buku sama ada daripada kain atau plastik lembut. Jika buku itu didatangi dengan bunyi apabila punat tertentu ditekan, pun digalakkan.
3. Bermula usia 6 bulan ke atas atau apabila bayi berupaya duduk, ini masa yang sesuai untuk memperkenalkan buku yang berwarna-warni. Ilustrasi masih harus ringkas dan teks beritma seperti pantun, ‘nursery rhymes’ adalah digalakkan.
4. Bayi cenderung pada bunyi-bunyian, mimik muka dan intonasi yang bervariasi dan gerak geri tangan. Ketika anda membaca buku padanya, lakukan perkara tersebut.
5. Ketika berusia 9 bulan ke atas, ini masanya sesuai untuk memperkenalkan barangan harian di sekelilingnya. Cuba dapatkan buku yang ada paparan sebegini dan tunjukkan objek sebenar padanya. Jadi, ketika dia membelek buku tersebut, ini dapat meningkatkan keupayaannya mengingat dan menghubungkaitkan benda sebenar dengan gambar yang dilihat.
6. Terdapat jenis buku yang boleh diselak material di dalamnya (lift-the-flap), diramas dan mengeluarkan bunyi, bergemerlapan (glitter) untuk tarik perhatiannya, ditarik reben dan terkeluar benda tersembunyi dan banyak lagi jenis stimulasi yang berfungsi 2 dalam 1. Selain pengenalan kepada proses membaca, ia untuk merangsang kemahiran motor halus bayi (menggenggam, memulas, memicit, menekan, dll)
7. Pastikan ruang keliling bayi berada, akses untuknya mendapatkan bahan bacaan tersebut mudah. Buku-buku tersebut boleh disimpan dalam kotak atau rak berkedudukan rendah pada paras mata bayi dan tiada objek yang mendatangkan bahaya pada bayi. Pastikan rak berdekatan bayi yang menyimpan bukunya itu berkedudukan selamat dan kukuh.
8. Jangan ambil masa terlalu lama untuk membaca pada bayi kerana titik tumpunya sangat pendek. 5 ke 10 minit sudah memadai. Apa yang penting ialah kekerapan aktiviti dan perlakuan yang berulang.
9. Sekitar usia ini, buku yang diperbuat daripada kertas masih tidak sesuai diberikan kerana kecenderungan dikoyakkan atau dimasukkan ke dalam mulutnya itu tinggi. Buku diperbuat daripada kertas berketebalan tinggi dibolehkan (board book) bergantung pada progres kemahiran motor halusnya. Jika bayi anda cenderung membaling barang, mungkin board books belum sesuai sebagai langkah keselamatan.
10. Anda sendiri sebagai ibu bapa juga harus menunjukkan kegiatan membaca di hadapan bayi selalu. Ini kerana bayi anda mengidolakan anda dan ibu bapa merupakan suri teladan pertama kepada mereka. Pengaruh anda besar pada anak-anak jadi jangan disia-siakan momen ini sebagai pembentukan pendidikan awalan bayi.
Comments
Post a Comment