Ulasan Buku | The Subtle Art of Not Giving A Fuck





Jika selama ini anda berfikiran bahawa anda perlu sentiasa gembira, harus sempurna, sukses dalam bidang yang diceburi adalah tonggak matlamat hidup anda, keberangkalian anda perlukan buku ini untuk ubah paradigma pemikiran anda, ada.

.
Saya berkata sedemikian bukanlah memaksudkan anda telah melakukan kesilapan selama ini, cuma secara teknikalnya, sajian buku ini dengan bahasa kasar dan perenggan yang penuh dengan ayat-ayat mencarut, mengingatkan pembaca supaya tidak terlalu menekan diri dengan meletakkan pandangan manusia sebagai prioriti. Sebaliknya jadi diri sendiri seadanya.
.
Tidak dinafikan ada orang yang ‘workaholic’ atau ‘adventure-seeker’ dan mencipta kepuasan menelusuri saluran memaksimumkan potensi diri sehingga selagi tiada unsur-unsur mencabar diri, orang sebegini tiada rasa keterujaan.
.
Jujurnya saya yang sebenarnya selalu mengelak membaca buku-buku self-help atau motivasi kerana jelak dengan ayat-ayat klise atau konten yang sudah basi, buku ini memberi sedikit kelainan rasa pada saya. Penulisnya telus sahaja mengutarakan poin, walau idea-ideanya bukanlah sesuatu yang baharu. Antaranya kewarasan dalam memilih dengan tahu menilai yang mana mustahak atau tidak, sisipan nilai dan norma kemanusiaan, membina kepercayaan dalam perhubungan, respon pada kegagalan dan penolakan dan banyak lagi. Bab kematian dan nilai kendiri yang bersangkut paut dengan hala tuju hidup adalah topik paling saya gemari dalam buku ini.
.
Gaya persembahan buku ini yang sebenarnya memberi sedikit kelainan berbanding kebanyakan buku self-help di pasaran. Apabila dibaca reviu di Goodreads, ramai juga yang mengkritik buku ini. Tapi, jika anda bertanya saya, haruskah dibaca buku ini? Saya akan katakan ya, sila cuba.

Comments