Ulasan Buku | BIBLIOHOLISME - Menelusuri Dunia Buku & Pencintanya


Lord Thomas Babington Macaulay suka membaca buku sambil berjalan tanpa mempedulikan pejalan kaki di kota London kerana beliau mampu membaca dengan cepat sambil berjalan. Frederik Hickles, berbangsa Belanda sanggup menyorokkan satu-satunya naskah buku yang diidam-idamkannya di sebuah kedai buku di Amsterdam supaya orang lain tidak dapat membelinya sementara beliau mengumpul wang untuk membelinya. Sun Ching yang hidup pada abad ke-10M sanggup mengikat rambut panjangnya pada tiang katil untuk menjaga kepalanya agar terus tegak supaya beliau dapat terus membaca.

.
Ini hanya sebahagian figura bibliofil yang diperkenalkan penulis dalam buku ini dan ada banyak lagi yang diceritakan seperti Alfred Nobel, Abraham Lincoln, Albert Einstein, Oprah Winfrey. Turut diceritakan personaliti tempatan yang berhubung baik dengan penulis dengan pengalaman-pengalaman berkisar dunia pembacaan.
.
Penulis ada menyelitkan topik ringkas cara penjagaan buku selepas menghuraikan panjang lebar keperluan membaca dan kenapa wujudnya insan yang terlalu mencintai buku dan gilakan membaca. Saya tersengih sewaktu meneliti senarai tabiat orang-orang yang digelar bibliofil yang pada pandangan umum, dikatakan unik dan pelik. Memang kena batang hidung sendiri 😅
.
Penulis juga bercerita serba sedikit kisahnya sebagai pemburu buku dan personalit pemburu buku yang lain. Di bab penghujung, sisi gelap (beliau menggunakan ungkapan sisi aneh) berdasarkan sejarah lampau. Antaranya nasib malang yang telah menimpa seorang penulis, sebuah Pustaka yang dibakar oleh puak pelampau dan penyakit mencuri buku yang diistilahkan sebagai bibliokleptomania yang benar-benar pernah berlaku.

Saya berpendapat buku ini harus dibaca oleh mereka yang menggelarkan dirinya bibliofil atau BIBLIOHILISME yang membawa maksud kecanduan luar biasa terhadap buku dan dunianya yang berkecenderungan berlebihan, kalau tidak pun ekstrem dalam membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku.

Adakah anda orangnya?

Comments