FASA (1)
"Adik, berapa kali nak baca buku tu? Tak jemukah?" tegur kakak.
Saya tidak menjawab tetapi angkat kaki menuju halaman rumah. Saya panjat pokok mangga yang rendang dan sambung membaca buku terjemahan karya Enid Blyton, 'Misteri Kucing Pantomim'
Benarlah kata kakak, saya hilang kiraan buku itu dan buku 'Misteri Pondok Terbakar' oleh penulis yang sama diulang baca tanpa jemu.
2 buah buku ini sangat istimewa kerana itulah buku pertama yang dibeli oleh arwah abah di Pustaka Mukmin di Jalan Raja Laut memenuhi permintaan saya ketika keluar bersama mak dan abah.
Boleh dikatakan hampir semua karya Enid Blyton baik yang berbahasa Inggeris mahupun terjemahan telah dibaca oleh saya semasa kanak-kanak.
Penulis prolifik lejen inilah pencetus saya menyimpan hasrat untuk menulis buku seumpamanya. Saya kurang bergaul, pendiam dan dunia saya dipenuhi dengan khayalan dalam penceritaan menerusi buku-buku yang dibaca.
.
Pernah saya cuba menghasilkan satu siri kisah remaja ketika Tingkatan 3, inspirasi daripada Sweet Valley series, Mallory Towers series dan Anne of Green Gables series. Saya cipta beberapa watak utama dan watak sampingan, berikan mereka profil dan lukis wajah-wajah mereka. Plot kisah beberapa episod pun siap draf kasar. Tapi projek ini terbengkalai, anehnya saya tak pernah lupa ini salah satu ikhtiar kegiatan menulis atas sebab minat. Zaman saya belum wujud kelas penulisan. Anda perlu suka buku dan gila membaca yang memungkinkan anda mahu menulis jika tiada dorongan sesiapa. Begitulah keadaan saya.
.
Biasalah remaja, orang kata fasa pemberontakan dek hormon yang mencanak dan ansuran pembentukan perwatakan. Bila saya dimarahi mak (abah tak pernah marah, mak jer garang), saya tak menjawab balik. Protes saya lebih banyak diam dan lari ke bilik. Saya akan mengadu pada Troy.
Troy ialah lelaki halimunan yang hanya wujud dalam diari-diari saya. Sebetulnya dia 'crush' pertama saya. Kan saya dah katakan tadi saya gila membaca sehinggakan watak yang wujud dalam karya Virginia Andrews, saya hidupkan dalam dunia remaja saya.
.
Sebelum membuang diari-diari tersebut setelah dewasa, saya ambil masa membaca semula semua curhat saya dengan Troy. Aduhaiii.... Macam-macam perasaan timbul ketika itu.
"Aku ker ni? Tak matang langsung!"
Harus tak matang. Nama pun remaja.
Tetap menulis diari secara konsisten itu sebenarnya banyak membantu saya melalui cabaran hidup seorang remaja. Rebellious streak saya diluah dalam tulisan tatapan peribadi dan ia meredakan pergolakan emosi ketika itu.
.
Hingga sekarang walau tidak ada lagi sesi Curhat Diari, tabiat mencatat perkara penting dalam kehidupan sehari-hari masih saya lakukan.
...
FASA (2)
Siapa sangka menyiapkan satu tugasan subjek Human Development (Pembangunan Manusia) tahun lepas telah menemukan jawapan kepada beberapa persoalan hidup saya selama itu?
.
Kami perlu menghuraikan 3 pengalaman paling signifikan dengan mengaitkan teori-teori berkenaan pembangunan / perkembangan manusia yang telah dipelajari. 3 pengalaman perlu disegmen kepada fasa kanak-kanak, fasa remaja dan fasa dewasa. Selepas huraian dengan perkaitan teori, perlu pula merumuskan dengan refleksi diri. Jenuh juga membelek gambar lama dan segala momento dalam simpanan kerana bukan sekadar mengimbau hanya satu peristiwa signifikan tetapi dianalis kenapa ia terjadi begitu dan begini.
.
Barulah saya sedar, ada yang masih belum selesai timbul sepanjang menyiapkan tugasan ini. Rupa-rupanya ada beberapa perkara rumit yang tidak terhurai menjadi penyebab kenapa saya berperawakan begitu begini. Kata-kata daripada orang yang penting dalam hidup kita boleh membina atau menghancurkan. Allahyarham mak kata saya seorang yang berani dan tegas selepas kakak seakan tidak percaya saya telah dilantik menjadi pengawas sekolah ketika darjah 4. Pada kakak dan abang, saya seorang yang penakut. Walau mak garang, saya rapat dengan mak dan mahu menjadi seorang anak yang patuh. Atas sebab itulah, sebolehnya tindak tanduk saya tidak membelakangi orang tua. Dan, tindakan itu adakalanya memakan diri juga sebab saya gagal mendengar isi hati sendiri. Penyesalan timbul dan menyalahkan diri sendiri.
.
Saya memilih kisah menaiki bas kali pertama di luar pengetahuan ibu bapa untuk peristiwa zaman kanak-kanak.
Untuk zaman remaja, kisah bagaimana bermulanya pembabitan saya dalam bidang penulisan dengan terpilih sebagai sidang redaksi majalah sekolah. Konflik timbul semasa proses pemilihan tersebut dengan rakan sekelas yang turut memohon jawatan tersebut. Untuk ini dikaitkan dengan teori Maslow.
Pencarian hala tuju hidup yang lebih kepada soal kerjaya sehingga menguji pegangan kepercayaan merupakan peristiwa signifikan alam dewasa. Saya kaitkan dengan teori Kohlberg untuk huraiannya yang panjang lebar.
Ketiga-tiga kisah ini pernah saya ceritakan di sini. Mungkin ada di kalangan rakan yang terperasan alkisahnya.
.
Fasa kanak-kanak yang dikaitkan dengan teori perkembangan Erikson yang begitu ketara dan memberi jawapan menyeluruh.
'Menurut teori perkembangan Psychosocial yang dipelopori oleh Erik Erikson, personaliti seseorang dibentuk melalui pergaulan. Pengaruh orang yang rapat paling berperanan membentuk kendiri insani.
Berbalik kepada kisah ini, ia berkait rapat dengan peringkat tiga teori perkembangan Erikson - Psychosocial; Inisiatif lawan Bersalah (Iniative vs Guilt). Menurut Erikson, fasa ini berlaku sekitar usia 3 hingga 5 tahun. Ia merupakan tempoh pergaulan seorang kanak-kanak dipupuk secara beransur-ansur yang lazimnya berlaku apabila kanak-kanak tersebut sudah mula menerima pendidikan formal di sekolah. Kanak-kanak itu akan membina skil interpersonal melalui pembabitannya dalam aktiviti bergaul sesama rakan sebaya.' [Ini adalah sebahagian petikan daripada tugasan saya yang dimaksudkan]
.
Saya memaafkan diri sendiri sejurus menyempurnakan tugasan ini. Menulisnya memberi kuasa keajaiban penyembuhan dan tidak ada lagi yang tersimpul jauh sekali penyesalan dalam beberapa perkara. Pada saya setiap pengalaman itu mematangkan dan mencorakkan personaliti unik kita
...
FASA (3)
Sahabat kata saya seorang yang sensitif. Diharapkan sensitif yang dikatakan itu berkonotasi positif yakni peka pada keliling bukan beremosi tanpa sebab sepanjang masa.
.
Jika ada orang tanya bagaimana saya mengharungi PKP sejak 18 Mac lalu? Saya pasti akan menjawab, macam Dory,
"just keep swimming...swimming... swimming..."
Banyak peristiwa yang menguji sehingga saat ini namun hikmahnya ia pencetus pada saya untuk buat perkara bukan kelaziman, seolah-olah beransur menyahut seruan 'Biasakan norma baharu.'
.
Menulis puisi? Poem? Pernahlah semasa di bangku sekolah tapi genre ini bukan lingo saya. Menikmati puisi dan poetry itu sahaja paling mampu dilakukan sehinggalah malam 30 April, saya terkenang beberapa peristiwa pahit manis yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Poem pertama 'Mellow' dalam koleksi OOAK saya nukilkan malam itu sebelum terlena. Dan, seterusnya saban malam, akan muncul ilham-ilham yang akhirnya mencukupkan 10 poem kesemuanya. Saya juga menulis satu certot 'The Kite' ketika idea itu muncul semasa berbuka puasa dalam tempoh 10 hari berhibernasi. Kedua-duanya dimuatnaik ke Wattpad.
.
Saya beritahu sahabat, selepas menukilkan poem ke-10 (terakhir), penutup OOAK, semacam ada satu perasaan aneh wujud serta-merta. Ia satu gambaran kelegaan yang hanya boleh diluahkan menerusi kata-kata manis berpuitis. Saat itu rasa untuk #moveon atau orang kata melepaskan lagi serasa ringan dan mudah.
.
Setujukah dengan saya setelah saya kongsikan 3 pengalaman menulis itu satu terapi? Saya tidak boleh meramal dunia penulisan dan pembabitan saya kelak cuma saya mahu hidup dalam keadaan semasa. Seperti apa yang saya maksudkan dalam poem saya ini:
.
'The past shall not hold the power to define the future.
The future shall not be a wonderment to translate moments.
Containment limits miracle
Rigid hinders magic
It is a gift to live in the present
As present brings a smile to lips.'
Comments
Post a Comment