Terlanjur Kerana Batin Tersiksa




"Ya puan?" Mata penceramah berkalih ke arah saya yang mengangkat tangan.

"Saya nak tahu apa jadi dengan lelaki tu, yang bapa kandung budak tu."

"Kenapa puan? Puan nak nombor telefon dia?"
Penceramah mengulum senyum pada saya yang sudah cuak. Seisi hadirin terhambur ketawa.
"Dia penulis, encik. Mana boleh cerita tergantung. Mestilah dia nak tahu sampai kesudahan," rakan sebelah mencelah. Saya tersenyum manis pada rakan, tanda terima kasih. Penyelamat keadaan saya yang kelu diusik penceramah yang kuat menyakat daripada sesi pertama lagi.
.
Lelaki yang dimaksudkan adalah pasangan tidak sah pada seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu pada enam orang anak. Bukan warga tempatan.
Sesudah meletakkan jawatan pramugari, tumpuan hidup wanita ini hanya pada anak-anak. Suami kerap tiada, tuntutan kerja sebagai juruterbang.
.
Sunyi. Tidak dipedulikan. Tertekan. Bermula hanya dengan sembang kosong, dia terlanjur dengan lelaki itu dan disahkan berbadan dua.
Sang suami yang tidak tahu menahu hanya bersetuju menemani isterinya apabila dimaklumkan mahu mendapatkan rawatan kaunseling.
.
Penampilannya anggun dan sukar percaya dia adalah seorang ibu. Lenggok jalannya memikat dan wajahnya tidak dimamah usia. Sayangnya, ada murung yang dalam jelas terpamer pada wajah jelita itu.
Habis meluahkan tragedi yang menimpa, dia sudah membuat keputusan untuk dijatuhkan talak. Demi menebus kecurangannya.
.
Suami masuk ke bilik rawatan dan kaunselor menjadi orang tengah menyampaikan hasrat sang isteri yang tersakiti.
Termenung sang suami usai mendengar kesemuanya. Selepas jeda yang panjang, suami nekad enggan melepaskan isteri.
"Saya yang bersalah. Saya bertanggung jawab menjurus tindak tanduk isteri saya sampai begini sekali. Saya mengabaikan keperluannya. Saya juga curang. Saya puas 'makan luar' dan lupa adanya isteri yang setia dan berkorban untuk kami sekeluarga. Saya bersedia menerima bayi dalam kandungan isteri saya walau dia bukan daripada benih saya."

Comments