BALU dan JANDA
Sama tapi tak serupa. Tapi rata-ratanya melihat seorang perempuan yang tidak bersuami yang sudah berzuriat, disekaliguskan label janda. Tiada zuriat itu susah sikit nak cam. Isu lazim berkisar harta sepencarian dan peninggalan suami kepada isteri. Kita sedang melihatnya, nasib seorang balu menuntut haknya. Belum lagi cerita balu yang dikejutkan berita (tragedi?) rupa-rupanya selama ini arwah suami berpoligami dan datang satu keluarga isteri kedua. ketiga dan seterusnya yang menuntut hak sama.
.
Janda. Gelaran taboo yang ditakuti mana-mana perempuan. Lebih sanggup mempertahankan rumah tangga yang berantakan daripada memilih jalan keluar untuk berpisah. Apa nilai secebis sisa siuman (sanity) hendak dibandingkan ketakutan untuk memegang gelaran ini. Kenapa?
Masyarakat memandang sinis perempuan yang bergelar janda. Dikatakan perampas suami orang. Dikatakan penuh muslihat demi kepentingan kebahagian sendiri. Perkahwinannya yang gagal sebelum ini diletakkan seratus peratus kesalahan pada perempuan ini. Celaan yang dilemparkan, tak sanggup mendengar atau meneruskan pembacaan kutukan netizen.
Janda dijadikan bahan lelucon. Gersang, birah, desperado, bekas orang. Satu label berkonotasi negatif. Itu sebab ramai wanita di luar sana lebih rela menyorokkan identiti atau status masing-masing daripada berhadapan dengan pra-konsepsi atau prejudis masyarakat terhadap mereka. Baru bergerak sahaja, ada para isteri sudah memberi amaran pada sang suami. Apa dosa si janda ini pada mereka?
.
IBU
“Anak dia terbiarlah tu sebab elok jer dia bebas bergerak solo ke sana ke mari. Aktif kemain. Banyak betul masa dia. Dah tak jaga anak.”
“Dia mana ada masa. Anak-anak dia nak kena jaga. Terperap di rumah saja apa yang dia tahu. Jangan harapkan dia lagi dah.”
“Asyik sibuk kerja, anak-anak terbiar.”
“Bulan lepas banyak betul awak ambil cuti emergency jaga anak awak. Awak nak bekerja atau tidak?”
Dilema, dilema, dilemma sesudah bergelar ibu. Walau apa pun pilihan seorang perempuan saat dia bergelar ibu, itulah yang terbaik yang semampu diberi. Malangnya, masyarakat lebih bijak pandai untuk menentu stail parenting ibu ini. Timbul masalah pada anak, si ibulah memikul natijahnya. Segala kebaikan terus dilupakan atas sebab satu perkara menimpa yang seharusnya dianggap dugaan buat mereka, bukan satu kesalahan yang diperbesar-besarkan.
Mahu pegang peranan ibu ini ibarat jadi superwoman. Kena tip top serba serbi. Berkesudahannya keperluan sendiri terabai.
Bila diri dah serabai, pasangan pun buat alasan, cari lain.
Biasa dengar?
Ibu-ibu ini biasanya cukup susah nak curi masa untuk 'me time'. Dah dapat 'me time' pun, dia punya rasa bersalah tu macam buat dosa. Itulah ibu-ibu.
.
ANAK DARA
Soal jodoh isu paling memeningkan.
Kahwin awal salah, dikatakan miang itu sebab kahwin cepat.
Kahwin lambat pun salah, dikatakan terlalu cerewet memilih sampai tak laku-laku.
Bagaimana pula halnya soal meletakkan mahar / mas kahwin / nilai hantaran?
Letak sedang-sedang (sederhana) dikatakan bawah nilai.
Letak tinggi-tinggi mak pak pula dikatakan macam nak jual anak.
Persis barang dagangan. Jadi, apa sebetulnya?
Memilih pasangan bukan main cekup, ajak kahwin, kawan. Kahwin bukan sehari dua, sebolehnya biarlah hingga akhir hayat dan moga jodoh masih kekal di alam sana.
.
Susah betul jadi seorang perempuan.
Sentiasa dlposisikan dalam situasi serba salah.
Tak ubah kisah seorang anak dengan bapanya yang uzur bersama seekor keldai tua memikul sedikit barangan dan merentas padang pasir. Bertemu beberapa kabilah dan setiap penduduknya melontarkan pandangan berbeza atas apa yang mereka lakukan.
Setiap perbuatan mereka sentiasa mendapat kecaman.
.
Beginilah kawan. Selagi kita fikir apa pandangan orang terhadap kita, hidup kita takkan tenang. Utamakan mereka yang penting dalam hidup kita dan jalanilah kehidupan dan mainkan peranan memasing semampu kita. Ada masalah, salurkan pada yang sebetulnya seperti kaunselor yang boleh memegang kerahsian. Elakkan bercerita hal-hal peribadi di medsos. Kita tak mampu kawal tanggapan orang.
.
Ubah mentaliti kawan. Berhentilah melabel kaum perempuan dengan generalisation dan pandangan sterotaip. Kenangkan ibu, kakak, adik perempuan, saudara perempuan malah isteri kita sebelum dijadikan ia bahan lelucon.
Hidup perlu dijalani dengan sifat empati. Jika tidak mampu membantu, sekelumit ihsan itu perlu.
Comments
Post a Comment