Saya Mahu Ayah Saya Buta!



Kaunselor menatap wajah gadis di hadapannya, sukar percaya dengan apa yang baru didengarinya.
"Kenapa adik berdoa begitu?"
Jawab gadis tidak beriak wajahnya, "Saya berdoa tuhan butakan ayah saya supaya dia tak boleh seksa kami lagi."
.
"Ayah siksa macam mana?"
Masih tidak beriak wajah gadis itu malah setitis air mata pun tidak kelihatan, dia bercerita kesemuanya.
.
Sekian lama dia dan dua adiknya selalu dipukul dengan penyapu apabila disuruh buat kerja rumah.
Langsung tidak boleh membantah atau tubuh-tubuh mereka menjadi mangsa keganasan si ayah.
.
"Ibu tahu?"
"Mestilah ibu tahu. Ibu cuba halang, ibu kena teruk pukul daripada kami. Kena maki, kena caci, ibu dah lali. Ayah selalu cakap, kerja yang ibu dapat sekarang, kalau tak bantuan kenalan ayah, ibu tak ke mana. Sebab itu ibu mesti tak boleh bantah kalau ayah minta duit."
.
Kaunselor terdiam, mati kata-kata.
"Pakcik...." Seru si gadis memecah keheningan.
Kaunselor kembali menatap wajah polos itu.
"Saya risaukan adik-adik saya. Saya dah masuk asrama, jauh daripada ayah. Tak dapatlah saya jaga adik-adik saya. Ibu keluar bekerja. Ayah tu bukan ada pendapatan tetap. Perbelanjaan rumah, ibu yang tanggung. Macam mana saya nak jaga ibu dan adik-adik?"
.
Sebak hati Kaunselor tapi tidak boleh diperlihatkan pada raut wajahnya.
"Ibu adik dalam proses memohon cerai daripada ayah adik. Adik tahu tentang ini?"
"Tahu... dah lama ibu nak buat tapi ibu selalu takut. Macam-macam ayah ugut ibu. Tolonglah pakcik, tolong ibu saya, adik-adik saya. Percepatkan mereka keluar dari rumah tu."
Nada suaranya jatuh sayu.
Kaunselor mengangguk berulang kali.

Comments