"Kenapa kau menangis, Han?" tegur rakan sebilik mendongak merenung saya yang kemerahan matanya di katil atas. Sudahlah tidak mahu turun bersarapan hujung minggu gara-gara tak nak berhenti membaca sebuah novel, mungkin rakan sebilik khuatir saya jatuh sakit sebab perut kosong.
"Buku ni ha...sedih betul ceritanya," jawab saya menghembus hingus pada tuala mandi.
"Ler," berpusing biji mata rakan dan bergeleng berulang kali sebelum membiarkan saya bersendirian kembali.
Itu cerita tahun 1997 di sebuah IPT.
Kali terakhir saya menangis atas sebab sebuah novel cinta.
Novelnya, 'Almost Heaven' karya Judith Mc Naught.
.
Dan, malam tadi, sekali lagi air mata tumpah, hingus meleleh (errr, saya memang sedang selsema) dek sebuah lagi novel.
Perempuan maskulin hati kering seperti saya payah nak terbawa-bawa dengan kisah sebegini tapi kali ini sekali lagi Mahizan Husain berjaya tawan saya, lebih padu daripada dua buah novel terdahulu yang dibaca. Saya membaca buku 'Narkisa' (ITBM) kemudian 'Raka' (FIXI)
.
Ia bukan kisah cinta biasa-biasa. Pada awalan pembacaan, saya lebih banyak tergelak sebab dialog 'witty' dan aksi watak bersahaja. Naratif pun enak diikuti tidak melewah dan terus menuju maksud. Bukan 'sugar-coating' bersemut buku anda ketika membacanya jenis ceritanya. Saya perasan kekuatan karya kreatif Mahizan adalah pada watak-wataknya. Serasa mereka hidup, menjalani kehidupan depan mata kita. Saya seakan memerhati dan mendengar perbualan mereka. Itu yang seronoknya bila penulis berjaya memukau pembaca sebegini.
.
Bukan mudah nak buat pembaca menangis sebab karya kita. (Saya berdoa, moga karya saya mampu sehingga tahap sebegitu). Menangis sebab kejadian yang menimpa watak sampingan pula tu. Watak utamanya tetap tidak dibayangi tapi ada watak sampingan ini menjadi cukup perisa hidangan ceritanya. Apatah lagi diselitkan dengan kisah-kisah legenda, diskusi tentang buku dalam dialog mereka.
.
'Platonic relationship'. Petunjuk untuk tema buku ini. Buku ini terbit tahun 2009, kurang pasti pula sama ada masih ada atau tidak. Rezeki saya terjumpanya dalam koleksi pembaca tegar.
Kalau berjumpa, sila beli tanpa teragak-agak. Saya jarang buat reviu atau beri pujian melambung tapi kalau saya buat tu, tandanya...#fanofmahizanhusain
Comments
Post a Comment