Lamaran Bermadu




Ketika usia 20 tahun dan masih menuntut di IPT, sahabat saya dilamar menjadi suri hati, seorang lelaki yang 15 tahun lebih tua daripadanya.
Untuk menjadi isteri kedua pada lelaki yang sudah bercahaya mata lima orang dan sedang menyambung pengajian ijazah kedoktoran (doctorate)
Sahabat jadi bingung bersoal kenapa dirinya yang dipilih si lelaki?
Si lelaki menyenaraikan alasannya seperti:

** Jatuh cinta pandang pertama dengan sahabat. Perbualan berbasa basi dalam perjalanan menuju ke pekan dengan bas, mendorongnya untuk mencari sahabat di IPT pada hari yang sama. Sahabat terkedu ketika kejadian tersebut.
** Seronok berbual dengan sahabat. Rasa seperti jadi diri sendiri dan macam dah lama kenal walau baru beberapa bulan perkenalan mereka yang sekadar kawan sebelum lamaran itu dibuat. Sahabat saya tidak memiliki telefon bimbit pun jadi komunikasi antara mereka sangat jarang.
** Isteri tidak berpendidikan tinggi. Sukar berkomunikasi dalam hal ehwal yang memerlukan daya intelektual.
Apa yang sahabat saya buat ketika lamaran tersebut?
** Sedikit pun sahabat tidak menyangka perkara sebegitu akan berlaku dalam hidupnya. Hidupnya hanya berkisar pada pengajian. Lelaki itu mahu bertemu lalu sahabat maklumkan pada waktu makan tengah hari di Perpustakaan Negara Malaysia, tempat sahabat selalu berteleku mengulit buku setiap kali cuti semester.

Akhirnya...
Selepas lama berdiam dan habis dikumpul saki baki kekuatan yang ada dan cuba bertenang sebaik mungkin, sahabat katakan dirinya sudah berpunya. Teman lelaki yang sebaya dengannya, sedang menuntut di luar negara.
Lelaki itu terpempan, mukanya merah padam dan air mata mengalir.
'Dah sudah', kata sahabat dalam hati. 'Nak buat lagu mana pulak ni?'
Habis berbicara mereka membawa haluan masing-masing. Tapi lelaki ini tidak mahu berdiam diri. Dinyatakan pula hasrat mahu ketemu keluarga sahabat dan sahabat yang ikhlas, menjemputnya makan malam di rumah. Sakan lelaki itu bersembang rancak dengan bapa sahabat malam itu.
Sepulangan lelaki itu, dengan tenang, sahabat memberitahu kedua ibu bapanya apa yang telah terjadi. Ibu bapanya tidak melatah kerana yakin si anak gadis pandai jaga diri. Malah ibu bapa pun sedia maklum akan hubungan jarak jauh si anak dengan teman lelaki yang dikenali sejak di bangku sekolah.

Kemudian...
Teman lelaki balik bercuti. Mereka bertiga makan malam bersama. Keputusan sahabat untuk menemukan lelaki itu dengan teman lelakinya penamat kepada ketidakselesaan perhubungan. Lelaki itu tidak menghubungi lagi sahabat, manakala sahabat sekali pun tidak pernah menceritakan lamaran tersebut pada teman lelakinya. Tapi, ceritanya pada saya, hatinya terdetik mengandaikan, teman lelakinya tahu ada sesuatu yang 'pelik' sedang berlaku tetapi tidak pernah dia menyatakannya secara berdepan.
.
Baru-baru ini, sahabat bercerita semula pada saya
Dia terserempak dengan lelaki itu bersama seorang perempuan, pasti isterinya yang jauh lebih muda daripadanya.
Ditakdirkan pula, sewaktu menelusuri rak buku di sebuah kedai buku, sahabat ternampak buku hasil tulisan lelaki itu dalam bidang profesionalnya.
Sahabat selak halaman buku tersebut.
Terbacalah titipan penghargaan lelaki itu kepada tiga orang isterinya dan berbelas anak-anaknya.
Sahabat senyum.

Tercapai juga impian lelaki itu untuk hidup berpoligami.

Comments