Panduan Menyusukan Anak Di Khalayak Ramai

Artikel ini pernah disiarkan di dalam 
majalah MamaPapa bulan Mac, 2016

Kecoh senatero Malaya gara-gara ibu menyusu dan berselfie breastfeeding sehingga wujud istilah 'brelfie'. Beberapa puak bertelagah akan tindak-tanduk segelintir ibu yang menyusukan anak di khalayak ramai. Persoalannya bukan gambar brelfie yang mahu kita viralkan tetapi sejauh mana kita mahu menyokong penyusuan susu ibu menjadi sesuatu yang lumrah di mata masyarakat?

Ini adalah antara cabaran penyusuan seperti saranan pakar kesihatan malah agama Islam pun sudah menyebut sehingga genap tempoh dua tahun yang dialami oleh ibu-ibu menyusu. Keprihatinan banyak pihak yang terbabut dalam advokasi penyusuan memungkinkan penyusuan di tempat umum itu bukan lagi mustahil.

Panduan ringaks adab menyusukan anak di khalayak ramai (nursing in public) atau ringkasannya NIP ini membantu perjalanan penyusuan ibu-ibu kepada sesuatu yang sangat normal. Ibu-ibu perlu berbekalkan ilmu penyusan menyeluruh. Salah satunya menguasai kemahiran NIP.

Kebanyakan pusat membeli belah telah menyediakan kemudahan bilik menyusu (nursing room). Sebaik sahaja anda tiba di destinasi, cari di mana kedudukan 'nursing room' terlebih dahulu.

Jika sesiapa pun tidak sanggup menjamah makanan di dalam tandas, bayangkan keadaan di mana si ibu seolah-olah memberi anaknya makan di dalam tandas? Alternatifnya ibu boleh ke surau atau kembali ke kenderaan jika ia berhampiran.

Sedikit pelaburan nilainya berpanjangan untuk kesenangan ibu-ibu menyusu. Kewujudan perniagaan menjual pakaian mesra penyusuan (nursing-friendly attire) membolehkan ibu terus menyusu di mana-mana penuh sopan. Ibu juga boleh menggunakan sarung penyusuan atau 'nursing cover' yang turut dijual oleh perniagaan yang sama. Buat Ibu Muslim, lebih mudah anda menyusun dengan hanya menggunakan tudung anda sendiri. Pastikan akses bukaan untuk pelekapan bayi ke payudara sewaktu menyusu tidak merumitkan. Jika timbul kekalutan, mungkin boleh menarik perhatian yang tidak sepatutnya berlaku.

Jika ibu keluar berteman dengan suami, rakan perempuan dan saudara perempuan, minta tolong mereka menjadi penghadang laluan lintas terbuka.

Para ibu yang menggendong anak (babywearers) boleh juga menyusu menggunakan alatan gendong. Teknik ini perlu dipraktikkan kerap untuk mahir sepenuhnya. Ibu boleh meminta bantuan Konsultan Menggendong (Babywearing Consultant) atau ibu-ibu penggendong yang berpengalaman untuk menunjukkan cara-caranya.

Untuk membolehkan ibu-ibu menyusu di tempat umum dengan yakin bermula dengan menghilangkan rasa gelisah oleh ibu itu sendiiri. Sudah ramai ibu-ibu berjaya menyusu di mana-mana tanpa mengundang penerimaan negatif umum. Fokus pada bayi sahaja yang sangat memerlukan bekalan susunya. Jika ibu cemas, bayi akan mudah resah kerana bayi bijak mengesan emosi si ibu. Secara tak langsung ini boleh membangkitkan sikap ingin tahu pada orang lalu-lalang. Bersahajalah semasa melakukan NIP ini.

Harus diingatkan elakkan memulakan penyusuan ketika bayi sudah terlalu lapar atau dahaga. Naluri keibuan paling berkesan memberitahu bayi tiba masanya untuk disusukan. Tidak dinafikan juga menyusukan boleh meredakan bayi yang sedang meradang. Keutamaan masih berpihak pada bayi. Jika ibu berada dalam Komuter, LRT atau lokasi yang sudah tentunya kemudahan yang dinyatakan tidak wujud, masih boleh menyusu dengan sopan.

Penyusuan di khalayak ramai mungkin kelihatan sukar dan berkemungkinan Ibu berasa segan dan kekok. Pada peringkat awal, ibu boleh keluar berteman sehinggalah si ibu sudah mahir berbuat NIP tanpa mengundang pandangan serong. Bak kata bidalan, alah bisa tegal biasa. Umum pula disarankan untuk bergandingan menyokong penyusuan susu ibu di negara ini termasuklah memberi ruang aktiviti penyusuan tanpa mengira tempat dan masa. Sikap mengormati hak ibu menyusu ini harus dipupuk kepada semua tanpa mengira latar belakang individu tersebut. Jika masyrakat boleh menerima perbuatan ini dengan hati terbuka, tiada persoalan negatif wujud.

Comments