Bagaimana Ibu Ini Pupuk Sikap Suka Membaca Pada Anak-anaknya





Perkongsian ini di garis masa peribadi FB pada 23 Oktober 2017 dan telah di-'SHARE' sebanyak 23 kali.

Perkongsian ini berkenaan apa yang saya buat sehingga kini mendorong tiga anak saya membaca dan raih keberkesanannya. Seperti yang dijanjikan, mana poin yang kalian rasa boleh ikut, ikutlah. Mana yang tidak bersetuju, abaikan. Saya pun masih belajar dan amat berminat untuk tahu kaedah ibu bapa lain untuk tujuan sama. Pasti ada juga yang saya tak terfikir atau terbuat.

.
Apa yang saya pasti setiap anak, pendekatan tak sama. Contohnya:
Anak sulung (13) - Sudah boleh bebas membaca apa saja dengan kawalan dan minat membaca menjurus untuk 'self-study'. Anak minat topik hari kiamat, alam barzakh, etc, jadi saya akan dorong untuk dapatkan bahan bacaan sebegitu malah di internet, anak akan buat kajian sendiri. 
Anak tengah (9) - Kurang gemar buku banyak teks. Saya banyakkan komik seperti Komik-M (PTS), buku yang ada ilustrasi dan buku bersiri pengambaraan. Anak berkemahiran tinggi dalam visual dan spatial jadi teks akan cepat buat anak bosan. Kita buat cara seperti yang dinyatakan.
Anak bongsu (6) - Semua pun 'sapu' termasuk buku 'Birth' milikan Mama. Belum ada identiti spesifik jadi kita biarkan pengaruh keluarga untuk anak beransur bentuk minat tersendiri.
.
Jangan lupa ajar kemahiran merujuk kamus, tesaurus, ensiklopedia dan terjemahan al Quran.
.
Saya...
1. Masukkan buku sebagai sebahagian barang keperluan bayi bakal lahir. Jenis buku harus sesuai untuk bayi seperti buku kain dan buku bod (Board books)

2. Bacakan buku seawal anak dalam ‘perut’ (rahim). Baca kuat dari buku kanak-kanak yang ada ritma dan pengulangan perkataan (read-aloud). Teruskan sampai anak sudah mampu baca sendiri. Sebaiknya, anak-anak yang dah bersekolah pun, luangkan masa sekali sekala bacakan buku untuk mereka. ‘Bonding time with books’ adalah antara aktiviti kegemaran sebab saya baca dengan pengubahan suara pada watak-watak.

3. Buku adalah permainan. Cari buku yang tahan lasak seperti diperbuat daripada kertas bod, kain, plastik (bath book), buku elektronik. 'Favourite' kami ialah buku Eric Carles (Rujuk gambar). 

4. Sediakan satu ruang khusus dan bekas untuk simpan buku sebagai alat mainan. Sudut yang anak boleh sesuka hati nak sepah, nak pilih, jangan halang kehendak anak masa peringkat bayi dan usia tatih (toddler) untuk selerakkan buku. Buku-buku yang diasingkan bagi tujuan ini memang biasanya berakhir lunyai.

5. Ansur-ansur didik anak untuk hormat buku. Buku yang bahannya dari kertas seperti kelaziman, jauhkan buat si kecil dan hanya beri dengan pantauan kita. Boleh diajar untuk selak kertas tanpa terkoyak / dikoyak. (Kemahiran motor halus).

6. Mengoyak dan menconteng adalah perkara biasa dalam dunia kanak-kanak. Jangan dimarahi. Sediakan buku lama, majalah lama untuk tujuan itu. (Kemahiran motor halus)

7. Singgah ke kedai buku adalah satu rutin setiap kali keluar. Bawa ke perpustakaan kerap atau ke tempat yang banyak sumber buku dan bebas untuk membaca di situ.

8. Bahan bacaan tidak terhad pada buku. Majalah, buku ‘game’, komik pun dibelikan. Pastikan ia bahan bacaan yang bermutu.

9. Elak ajar ‘guided-reading’ di bawah usia empat tahun. Contoh: Fonik dan ‘Whole-word approach’. Tidak fokus ajar ABC sebagai hafalan kenal abjad pada usia tatih (toddler) sebaliknya terus ajar ‘sight-word’ melalui bacaan dari buku dan kad imbasan. Anak-anak yang kurang didedahkan pelbagai bahan bacaan seawal usia bayi dan kemudian diajar untuk membaca akan mudah menganggap membaca adalah satu aktiviti yang sukar.

10. Adaptasi dan fleksibiliti. Apa minat anak? Kartun? Super-heroes? Ada filem kegemaran? Cari buku untuk topik tersebut. Di rumah ni banyak buku super-heroes, contohnya. Beri kebebasan anak pilih sendiri bahan bacaan yang diminati dengan pantauan fleksibel.

11. Sentiasa bawa buku ke mana-mana walau ke kedai mamak sekalipun. Masa menunggu digunakan dengan sebaiknya dengan membaca walau hanya satu halaman. Galak anak bawa buku cerita ke sekolah juga.

12. Luaskan aktiviti berkait membaca. Sambut ‘World Book Day’ bersama rakan, borong buku di jualan gudang, sama-sama telek jualan buku di talian, apa sahaja asalkan ia berkenaan buku.

13. Buku sebagai hadiah. Lebih suka beri ganjaran sama ada buku atau bahan bacaan lain. Galakkan anak beri buku juga sebagai hadiah, contoh untuk Hari Guru, Majlis Kahwin, sambutan hari jadi rakan, etc. Tidak dilupakan wakaf buku.

14. Adakan diskusi dengan anak-anak tentang buku yang telah dibaca. Beri anak peluang bercerita dan ekpresi pendapatnya sendiri. 

15. Kurangkan gajet. Kurangkan televisyen. Tiada pun lagi bagus. Mereka masih boleh akses teknologi dengan komputer riba.

16. Paling penting kita sendiri adalah ibu dan bapa yang sayang buku dan suka membaca. Pengaruh paling berkesan!

Comments