Gejala Meroyan Semasa Berpantang




Artikel ini pernah disiarkan di majalah MamaPapa keluaran Disember, 2015


Tragedi ibu yang masih berpantang terjun dari tingkat 26 selepas baru 10 hari melahirkan bayi menjadi perdebatan di medan sosial. Terlalu banyak pandangan dibuat sehingga menimbulkan pertelingkahan di kalangan masyarakat terutama kaum ibu. Meletakkan satu-satunya alasan gagal menyusukan bayi sebagai punca mendorong si mati bertindak sedemikian telah mencetuskan kemarahan orang ramai. Isunya di sini yang lebih tepat ialah si ibu mengalami sindrom meroyan. 

Sebaik sahaja selepas bersalin, kebanyakan ibu mengalami keadaan yang dinamakan ‘kemurungan bayi’ (baby blues). Kemurungan ini berkait rapat dengan hormon. Rembesan hormon untuk baik-pulih dan perubahan fungsi organ tertentu meningkat dan didapati mempengaruhi antara 60 hingga 80 peratus ibu yang baru melahirkan pada sekitar fasa berpantang. Sukar tidur, sentiasa letih, cemas dan kurang selera makan adalah antara tanda-tandanya. Emosi turun naik ini dijangka berakhir dalam beberapa hari setelah si ibu sudah boleh menyesuaikan rutin baru bersama si kecil. Namun, bagi sesetengah ibu pula,  perasaan itu berlanjutan agak lama. Jika berlanjutan lebih daripada dua minggu, si ibu perlu merujuk kepada bantuan profesional. Keadaan ini yang kita namakan sebagai post-natal depression atau orang Melayu menyebutnya sebagai meroyan

Bagaimana mengenali simptom-simptom meroyan?
Si ibu berkemungkinan:
* Rasa bersalah dan sentiasa menyalahkan diri sendiri
* Menganggap hidup tidak bermakna
* Kerap menangis tanpa sebab
* Mudah membentak pasangan dan anak-anak lain
* Sukar fokus dan mudah pelupa
* Kurang mesra pada bayi baru lahir sehingga enggan menjaganya
* Diri sendiri tidak terurus
Banyak lagi simptom lain boleh berlaku tetapi berikut adalah yang biasa dialami. Sebelum melarat, ada beberapa kaedah rawatan awal yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga bagi membantu si ibu. Antaranya:
  • ·    Mengurangkan pencetus punca seperti elakkan keluarga dan kawan-kawan menziarahi si ibu dalam beberapa minggu terawal kerana si ibu masih penat dan ini menambahkan kepenatan akibat melayan tetamu. Malah, bayi juga memerlukan istirahat yang secukupnya dan tidak terganggu
  • ·    Pasangan boleh bergilir menjaga bayi dan membenarkan ibu untuk berehat seperti tidur, berurut, bertungku atau berendam dalam air suam berherba. Pastikan si ibu mendapat makanan lengkap nutrisi sebelum si ibu jatuh sakit
  • ·    Luangkan masa berbual dan bergurau dengan si ibu dan bertanya selalu jika ada aktiviti yang dia mahu lakukan, tanda keprihatinan padanya
  • ·   Jika si ibu bersikap luar dari kebiasaan, jangan sesekali menghakimi si ibu atau tidak mengendahkan perubahan sikap tersebut. Sebaliknya, jadilah seorang pendengar, bertanya untuk memulihkannya dan apabila mengusulkan cadangan, jangan sampai terguris hatinya. Majoriti ibu mahukan seseorang sebagai tempat meluahkan perasaan terpendam dan mereka akan berasa lega setelah meluahkannya.
  • ·  Orang sekeliling tidak boleh bersikap terlalu memaksa dan didiklah kejahilannya dalam sesetengah perkara dengan berhemah tanpa prejudis.
  • ·  Alunan muzik harmoni boleh diperdengarkan kerana banyak kajian mendapati, muzik boleh menceriakan manusia. Pada yang beragama Islam, perdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran


Adakah kemurungan dan meroyan boleh dielakkan?
Tidak semua ibu akan mengalami kemurungan. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang telah membuat persediaan rapi untuk menyambut kehadiran cahaya mata. Persediaan rapi yang dimaksudkan bukan berkisar mengenai persediaan fizikal; sebagai contoh membeli pakaian bayi sahaja. Sebaliknya merangkumi persediaan mental dan emosi. Pasangan baru mahupun yang lama boleh bersedia melalui pelbagai cara, antaranya:

  • ·   Menyertai kelas antenatal yang menekankan aspek menyeluruh, bermula daripada fasa kehamilan sehingga memberi panduan dalam soal keibubapaan. Kelas sebegini menitikberatkan kefahaman perubahan fisiologi sepanjang hamil, proses kelahiran dan bagaimana pengurusannya menurut tubuh badan secara alami dan peranan suami yang menyeluruh

  • ·   Mengambil tahu ilmu penyusuan susu ibu melalui pembacaan buku-buku berkaitan dan menghadiri kelas-kelas anjuran kaunselor atau konsultan laktasi bertauliah.

  • ·  Tidak meletakkan matlamat di luar kemampuan kendiri. Beransur-ansur memberi peluang pada diri dan menerima pengalaman baru tanpa mengukur skala kejayaan.

  • ·    Menjadi ahli kumpulan sokongan di laman-laman sosial yang spesifik seperti The Gentle Birthing Group, The Breastfeeding Advocates Network dan kumpulan keibubapaan di mana boleh meminta pandangan dan bercerita dengan mereka yang senasib.

  • ·  Menempatkan dan mengiktiraf lebih ramai golongan pakar dalam bidang psikologi, confinement lady dan kaunselor laktasi di pusat perubatan kerajaan dan swasta supaya si ibu lebih selesa berkongsi permasalahannya dengan golongan sebegini


     Melahirkan seorang bayi bukan suatu proses yang mudah dan dengan kemuncak arus kemodenan terbukti ia banyak mendatangkan tekanan kepada ramai orang termasuk ibu yang baru melahirkan. Jika isu ini tidak dibendung, akan muncul lebih banyak lagi paparan tentang kisah-kisah sedih seperti tragedi selepas 10 hari, baru-baru ini. Masyarakat disarankan untuk bersikap lebih prihatin dan bukannya menunding jari pada sebelah pihak.




Comments