Ulasan Buku | NALAR

 

Tajuk buku: NALAR - Biar dia rasa, harga sebuah dosa.
Penulis: Sharina Elisa
Penerbit: SO Publishing PLT 
Jumlah halaman: 268

Tertanya-tanya maksud perkataan Nalar sewaktu buku ini tiba di pangkuan sebagai tugasan ulasan buku yang saya janjikan pada penerbitnya. Menurut Kamus Dewan edisi keempat (lebih tepat di laman prpm), ia bermaksud pemikiran untuk menilai buruk baiknya, fikiran yang sihat, akal budi, intelek.

Jika saya boleh menghabiskan bacaan senaskah buku dalam masa beberapa jam sahaja, ini bermakna jalan cerita buku tersebut berjaya membuatkan saya tidak sabar menghabiskan pembacaan. Boleh jadi ia bacaan ringan yang mudah dihadam, tidak membosankan atau saya suka cara penyampaian penulisnya.

Itulah yang terjadi sewaktu saya membaca buku Nalar, yang dihabiskan bacaannya dalam satu malam sahaja. Sungguhpun saya agak liat untuk reviu buku ini kerana sikap saya yang bertangguh, tapi buku ini menarik dibaca.

Ya, saya suka buku berunsur pengembaraan, thriller dan seram tetapi saya tidak boleh letakkan buku ini dalam kategori buku yang saya minat. Mungkin faktor umur, saya mahukan buku yang lebih mendalam dan ada beberapa perkara yang menjadi tanda tanya.

Berkisar seorang kanak-kanak luar biasa bernama Fella yang merupakan watak utama, ada beberapa perkara yang saya rasa agak kurang logik dari segi penerimaan orang keliling. Sebagai contoh Tuan Firhan, seorang penguatkuasa undang-undang juga bapa kepada kawan baik Fella, terlalu bersahaja dengan perkara yang menakjubkan berlaku ke atas Fella. Boleh membiarkan Fella berseorangan berdikari, tidak mahu menyiasat lebih mendalam latar belakang Fella dan penjaganya dan beberapa perkara yang saya rasa kurang logik. Saya memikirkan mungkin senario cerita ini akan berlaku di masa hadapan di mana kanak-kanak pada zaman itu sangat berdikari dan tidak menjadi persoalan berkelakuan luar kelaziman karekter seorang kanak-kanak seperti yang diterima masyarakat.

Watak antagonis agak kurang ganas. Itulah seperti saya katakan tadi, mungkin saya sudah terbiasa membaca watak antagonis yang ganas belaka. (Maafkan saya). Ada satu lohong 'timeline' bilamana tiba-tiba peredaran masa berlaku terlalu jauh sehinggakan ada rasa kehampaan di situ sebagai pembaca. Jikalau penulis berhasrat mahu menyambung Nalar II, saya cadangkan buatlah flashback untuk menerangkan apa yang berlaku dalam 'gap' yang saya maksudkan di pengakhiran cerita.

Selebihnya, saya berpuas hati dengan gaya penulisan penulis dari segi tatabahasa, idea penceritaan, konsep dan dialognya pun kita boleh rasa seperti kita pun turut serta berada dalam dunia mereka. Itu sebabnya saya boleh baca buku ini sekejap sahaja sebab ia mudah meletakkan diri saya sebentar dalam dunia fiksyen Nalar dan lupakan dunia realiti saya untuk seketika.

Satu usaha yang baik untuk membanyakkan karya fiksyen tempatan dalam genre sains fiksyen. Buku yang sesuai dibaca dari usia remaja sehingga dewasa.

Comments