“Assalamualaikum. Nak beli kain? Macam-macam kain ada.”
Suaranya ditinggikan sedikit.
Pintu dikuak. Melangkah keluar seorang wanita India
pertengahan umur.
“Aci, minta maaf, saya ingat ini rumah Melayu. Aci mahu beli
kain? Macam-macam kain ada. Murah-murah saja, Aci. Boleh bayar ansur-ansur…”
“Tak mahulah!” Pintu dihempas kuat. Wanita lewat 30-an itu
memungut semula bungkusan kain di atas jalan tar lalu diikat semula di belakang
basikal. Walau mengah, basikal itu
dikayuh perlahan-lahan di bawah cahaya matahari yang terik.
…
“Rozi…ambilkan mak air.”
“Baik, mak.” Segelas air dihulurkan padanya. Sambil mengelap
peluh yang bercucuran dan tangan mengibas-ngibas menyejukkan diri, air putih
itu diteguk perlahan-lahan.
“Banyak orang beli kain, Mak?”
“Ada seorang ambil. Belum bayar lagi.”
“Mak percaya sangat pada orang. Kalau orang tu tak bayar
macam mana? DIbawa lari kain yang diambil tu, mana Mak nak cari?
“Tak apalah. Bersungguh-sungguh dia mahu, kasihan pula Mak
pada dia.”
“Lagi, lagi, kasihan. Kita ni Mak siapa yang nak kasihan?
Minggu lepas Mak nyaris-nyaris nak kena gigit dengan anjing orang Cina. Tu,
basikal buruk tu bukan kuat sangat Mak. Mak pun bukannya larat sangat nak
mengayuh ke hulu ke hilir. Mak duduk sajalah rumah. Tak perlulah Mak menjaja
dengan basikal tu lagi. Rozi risau Mak jatuh, cedera…” Anak nombor dua itu
tidak dapat meneruskan kata-katanya seraya kelopak mata mula bergenang.
“Tak apalah Rozi. Mak kayuh basikal buruk tu sekitar kawasan
sini saja. Mak tak pergi jauh-jauh. Duit dapat dari jual kain tu boleh juga Mak
buat belanja rumah ni. Kasihan Abah kau tu, gaji kerani mahu sara tujuh anak
duduk di bandar ni banyak tanggungannya. Kita berdikit-dikit sama-sama, mana
mampu Mak tolong, Mak buat selagi terdaya.”
…
Sungguh-sungguh Mak berdikit-dikit. Sikit-sikit lama-lama
jadi bukit. Selepas Mak meninggalkan kami bertemu Ilahi, Mak hadiahkan kami
satu legasi. Pesan Mak, duit simpanan Mak hasil titik peluhnya berpuluh-puluh
tahun lamanya itu, diagih-agih sama rata untuk ketujuh-tujuh anaknya.
Mak tak perlu pakai baju cantik dan mekap untuk mencari
rezeki halal. Mak hanya perlukan modal salam yang ikhlas dan basikal tua untuk
bantu mak habiskan kain jualan. Penat mengayuh, Mak berhenti sebentar di tepi
jalan. Mak tiada rasa malu. Kata Mak, Mak malu pada Tuhan kalau Mak putus asa
dalam tanggung jawabnya membesarkan anak-anaknya.
Siapa yang akhirnya dapat menikmati hasil titik peluh tanpa
sempadan. Anak-anak yang banyak berdosa dengan Mak. Mak, ampunkan kami. Kami
banyak berdosa dengan Mak.
Rezeki yang Allah bagi pada Mak dan untuk bahagian Adik,
Adik buat modal untuk cetak buku pertama Adik. Adik niatkan semua ilmu
yang Adik salurkan pada hasil tulisan
Adik, ada bahagian ganjaran untuk Mak bila ada insan berterima kasih pada Adik.
Allah dorongkan perjalanan ini dan jadi asbab saluran bantuan dari Mak. Terima
kasih Mak.
Adik pahat pesanan Mak pada Adik, Jaga Anak-anak baik. Kalau
ada barang yang buruk tapi masih boleh diguna, Adik tak buang begitu saja.
Sebagaimana Mak menghargai sebuah basikal tua, sikap berdikit-dikit dan tidak
boros Adik berpesan-pesan pada Anak-anak.
Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Mahu ikut jejak langkah
Mak meninggalkan legasi yang boleh dimanfaatkan oleh anak-anak.
Comments
Post a Comment