gambar hiasan
Kita boleh menghias diri dengan busana indah dari butik lengkap beraksesori memikat tapi kita sanggup melihat anak berpakaian lusuh dan selekeh?
Kita boleh berbelanja beg, kasut dan mekap
berjenama dengan kos beratus-ratus malah mencecah ribuan ringgit tapi kenapa
lokek untuk berbelanja pendidikan anak-anak yang nilainya menyamai kemewahan
keperluan peribadi?
Kita boleh seronok menjamah makanan bufet di
hotel lima bintang dan di restoran berprestij lalu kita tayang di FB dan IG
namun sewaktu menyuapkan nasi ke mulut, terbayangkah anak di bawah jagaan orang
lain, makan apa hari ini?
Kita asingkan duit gaji untuk pelbagai jenis
suplemen buat diri sendiri tapi bagaimana boleh kurang peka menaik taraf
nutrisi anak-anak demi tumbesarannya?
Kita boleh bersekang mata membawa pulang kerja
pejabat semata-mata mengejar 'deadline' tapi kenapa sukar meluangkan masa sejam
dua untuk mengajar anak perkara baru?
Kita bersedia aktif berpersatuan, meneroka ceruk
rantau pun kita berkesanggupan namun kenapa berat hati angkut anak
bersama-sama? Sehinggakan lebih rela anak dijaga oleh orang lain walau hari itu
hari kita bercuti?
Hakikatnya bila menyandang tanggungjawab ibu bapa,
keperluan dan keadaan anak-anak mendahului keperluan diri sendiri tetapi tidak
dinafikan ada segelintir alpa.
Renung-renungkanlah.
Hanz : Cetusan daripada layanan pemikiran dan hati
yang berkata-kata apabila sepasang mata memerhati.
Entri lama di blog tahun 2010 diolah semula.
Comments
Post a Comment