Kenapa Anak Aku Mencuri?


"Saya dah lama syak anak saya ni mencuri. Sikit-sikit wang yang saya simpan atas almari luak. Tapi, saya tak ada bukti," luah ibu ini yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah. Suami di sisi juga seorang guru.

.
"Jadi kenapa baru sekarang puan bertindak?" soal Kaunselor.
"Hilang 4 ribu tu, encik. Takkan saya nak berdiam diri lagi dah."
.
Anak yang disyaki berusia 11 tahun itu dipanggil masuk ke bilik kaunseling sementara ibu bapanya menunggu di luar.
Setelah bersoal jawab, akhirnya budak lelaki ini mengaku, memang selama ini dia telah mencuri duit simpanan ibunya.
.
Apabila ditanya kenapa dia berkelakuan sedemikian, jawabnya.
"Mak saya banyak duit. Mak saya berniaga. Saya memang selalu nampak mak simpan duit atas almari itu."
"Awak tahu kan, mencuri itu perbuatan yang tidak baik. Kenapa awak lakukan juga?"
"Duit itu bukan untuk saya pun," jawab budak itu tanpa riak wajah bersalah.
"Betul awak ambil 4 ribu?"
Satu anggukan sebagai jawapan.
"Mana duit itu?"
"Dah habis..."
.
Terkedu sebentar Kaunselor tapi cepat-cepat dineutralkan riak wajahnya.
"Awak buat apa dengan duit itu?"
Untuk seketika budak itu membisu.
"Saya belanja kawan-kawan. Dalam seminggu, kami ke 7-Eleven, dan saya kata pada kawan-kawan nak ambil apa sahaja, ambillah. Saya bayar."
"Ramai kawan-kawan kamu?"
"Errm... adalah nak dekat 10 orang."
"Mereka paksa awak belanja?"
"Taklah. Saya sendiri yang nak belanja. Masa baru berpindah sekolah, tiada siapa nak kawan dengan saya. Tapi, bila saya mula belanja kawan-kawan, mereka nak berkawan dengan saya. Makin lama, duit belanja ayah bagi tak cukup. Sebab makin ramai kawan-kawan saya. Saya ambil duit mak, mak tak perasan pun selama ni."

Comments