Ulasan Buku | Pengikut Yang Merosakkan oleh Ust Syaari Ab Rahman



Ini sebahagian inti pati buku ini yang saya olah semula setelah mencatat mesej utama yang mahu disampaikan.

1.       Antara cara Allah SWT memudahkan al-Quran sebagai peringatan ialah penghujung al-Quran didatangkan surah yang pendek-pendek menerangkan intipati ajaran al-Quran yang telah disampaikan oleh surah yang panjang-panjang. Sebagai contoh, Surah al-Asr yang pendek ditafsirkan oleh surah al-Kahfi yang panjang.

2.       Seharian melayari laman sosial dan isu-isu tular menyebabkan kita terkesan sehingga membangkitan variasi emosi yang bercampur-baur. Allah SWT ingin kita menjadi seorang Muslim yang berprinsip dan tidak dipengaruhi maka wajar al-Quran dirujuk kerana ia mendidik kita untuk kekal proaktif dan tenang dengan prinsip. Kita perlu menjadi Muslim yang principle-oriented bukan issue-oriented dan al-Quran ibarat kunci yang mencorakkan setiap tindak-tanduk melalui ajaran prinsip tersebut.

3.       Sejarah telah menyaksikan bahawa punca kesesatan orang-orang terdahulu disebabkan menjadi ‘pak turut’ dan Allah SWT menyebutkan akan hal ini melalui kisah kaum Mesir, kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Nuh a.s., kaum Nabi Hud a.s., kaum Nabi Soleh a.s., kaum Nabi Luth a.s. dan kaum Nabi Syuaib a.s.

4.       Ambillah teladan daripada kisah ahli sihir Firaun yang telah beriman. Pada mulanya mereka pemuja Firaun tetapi tanpa dorongan sesiapa, mereka membuat pengakuan beriman kepada Tuhan semesta alam.

5.       Sebaik-baik pengikut ialah mereka yang mampu memberikan pandangan yang berbeza asalkan asasnya ialah al-Quran dan al-Sunnah. Pengikut yang baik ialah mereka yang mampu memberikan kritikan dan teguran dengan penuh ikhlas. Dalam ayat ke-138 Surah al-Araf telah merakamkan teladan di mana sekiranya semua kehendak pengikut-pengikut (Nabi Musa a.s.), pastinya al-Haq (kebenaran) bercampur-aduk dengan kebatilan. Begitu juga dalam surah al-Maidah, ayat 24-25, juga memberi teladan pengikut yang membunuh harapan iaitu kisah ketika Bani Israil hampir ke Baitulmuqqadis.

6.       Matlamat hidup bukanlah sekadar menambah followers, harta mahupun pengaruh dan sebagainya. Renung dan nilai apa yang mahu ditinggalkan sebelum meninggal dunia.

7.       Kita merasakan hati kita bersih kerana mendengar kuliah-kuliah agama, sedangkan yang membersihkan hati kita ialah al-Quddus. Kita menganggap diri kita selamat daripada kebuluran, sedangkan yang menyelamatkan kita ialah al-Mukmin. Kita merasai diri kita terpelihara sedangkan yang Maha Memelihara ialah al-Salam.

Akhir sekali;

Hidup ini umpama berhenti di stesen minyak, Nabi Saw telah menyebut bahawa hiduplah kamu di dunia ini seumpama orang yang melintas sahaja. Sekiranya kita melintas suatu tempat untuk mendapatkan keperluan yang penting, kita akan hanya fokus kepada tujuan utama, iaitu menambah bekalan untuk hidup. Segala keperluan yang diperoleh akan kita letakkan di ‘tangan’ kerana kita sedar bahawa ia tidak akan kekal selamanya. Apa yang dimiliki akan digunakan dalam kehidupan seharian, dan bukan untuk disayangi oleh ‘hati’ sehingga payah untuk berpisah dengannya.

(Sebenarnya, banyak lagi topik dan isu yang diangkat dalam buku ini. Oleh itu, saya menyarankan sesiapa juga harus membaca buku ini dengan hati yang terbuka. 

Comments