ROKOK - Bagaimana Aku Berhenti Merokok



"Bohonglah kalau penghisap rokok tegar beritahu dia sudah tiada keinginan merokok acap kali berhampiran perokok waima terhidu bau rokok walau jarak berdepa-depa." Lelaki bersongkok hitam itu membulatkan matanya bersungguh dalam berkata.
"Saya dulu perokok tegar. Sehari berpuluh batang pun boleh jalan. Dalam pekarangan sekolah pun selamba saya saya merokok depan guru besar tapi selepas waktu sekolahlah," sambungnya lagi.
.
"Bagaimana tuan berhenti merokok?" Terdengar suara dari belakang dan saya antara yang mendengar tidak perlu menoleh. Saya tahu yang bertanya itu juga adalah seorang perokok.
.
"Oh, ada ceritanya. Berlaku berpuluh tahun lamanya. Dan, sebab peristiwa itu jugalah saya berhenti merokok sampai sekarang. Keinginan itu memang ada sekali sekala tapi kuatnya peristiwa itu beri kesan dalam hidup saya, buatkan saya tidak berpaling lagi."
.
'Macam drama. Cepatlah cerita.' getus saya dalam hati.
Seolah-olah lelaki ini mendengar gerutu hati saya, dia pun memulakan ceritanya....
.
"Satu malam saya terlelap dengan sebatang rokok masih menyala di celah jari. Saya terjaga bila terdengar angin bertiup kencang kerana tingkap terbuka dan hujan sudah mulai turun. Ubat nyamuk (jenis lingkaran) tu putus apinya, puntung tiada hanya debu dan tilam nipis buat alas baring tu tertebuk sana-sini. Ubat nyamuk tu betul-betul bersebelahan saya dan tangan saya pun mendepa ke situ."
.
Kami terdiam dalam debar menantikan dia mengambil nafas sebentar dengan sorotan mata merenung bukan pada sesiapa. Barang kali pada memori silam.
"Saya beristighfar banyak kali membayangkan apakah nasib saya sekiranya rokok itu mencucuh ubat nyamuk atau angin yang masuk itu membuatkan..." DIa terdiam tidak menghabiskan ayatnya. Jeda.
"Tuhan beri saya peluang kedua. Keesokan harinya, saya berhenti merokok serta-merta. Jika selama itu saya tidak sayangkan nyawa saya, tuhan sedarkan saya dengan memikirkan ada orang yang sayangkan saya."
.
"Arwah abah saya seorang perokok tegar," saya menyampuk. Tumpuan beralih pada saya.
"Abah berenti merokok lama tapi kata pakar, kesan nikotin sekian lama, abah saya mengalami barah paru-paru dan ditakdirkan itu asbab abah saya meninggal dunia."
.
"Bukan senang hendak berhenti. Saya akui. Tapi, kalau si perokok ada sebab kukuh, eloklah berhenti." Dia menutup ceritanya.

[Perkongsian di jalur masa Facebook bertarikh 22 Januari 2020]

Comments